.
Timor Leste akan diterima kemasukan sebagai anggota penuh ASEAN menjelang Oktober 2025 ini, tertakluk kepada beberapa langkah pematuhan akhir dalam aspek ekonomi yang telah ditetapkan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ASEAN mencapai kesepakatan untuk menerima kemasukan Timor Leste sebagai anggota penuh ASEAN, sekali gus menjadikan keanggotaan ASEAN bertambah dari 10 kepada 11.
"Alhamdulillah, Malaysia menutup tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan penuh bermakna. Kejayaan ini adalah hasil kerja keras dan kerjasama erat pelbagai kementerian dan agensi serta pasukan keselamatan negara," ujar beliau pada 27 Mei 2025.
Dalam sidang media penutup persidangan, Anwar zahirkan penghargaan tertinggi buat semua sahabat-sahabat pimpinan ASEAN atas semangat setiakawan luar biasa yang ditunjukkan.
"Sidang kali ini merupakan antara yang paling substantif dalam sejarah ASEAN bukan sahaja dari segi perbincangan, malah kenyataan bersama yang kukuh dan penuh makna.
"Kerjasama dengan GCC dan China turut mencatat kemajuan ketara. Tidak lagi bersifat formaliti semata-mata, perbincangan kali ini jauh lebih teliti, menyentuh isu-isu seperti tarif, projek bersama serta peranan bersama dalam mendukung keamanan dan kestabilan rantau," katanya.

Perdana Menteri menegaskan sekali lagi bahawa keutamaan ASEAN kekal pada kesejahteraan rakyat, perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi yang saksama.
"Berpegang kepada prinsip kepusatan ASEAN, kita akan terus menjalin kerjasama strategik dengan semua kuasa besar dunia sama ada China, Amerika Syarikat mahupun negara-negara lain demi kepentingan serantau," tambahnya.
Menurut beliau, sidang turut bersetuju memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara ASEAN dan GCC bagi membuka ruang baharu untuk memperluas pasaran, menggalakkan pelaburan dan memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
Banyak isu penting, kata beliau, yang lazimnya dibincangkan kemudian telah diselesaikan lebih awal daripada kebiasaan, termasuk mengenai Myanmar, tarif dan perdagangan intra-ASEAN.
"Kini, tumpuan utama kita ialah menjelmakan kesepakatan ini kepada tindakan nyata menjelang pertemuan seterusnya pada Oktober.
"Saya percaya semangat yang ditunjukkan oleh semua pemimpin ASEAN kali ini mencerminkan tekad baru untuk menjadikan ASEAN benar-benar berpaksikan rakyat demi masa depan yang lebih mampan dan terangkum," jelas Perdana Menteri. - KitaReporters
