Politik & Negara 17 Jan, 2024

Aparteid Israel terus berbohong! Kepada dunia, kepada ICJ! Buat keputusan hentikan perang, genosid!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague. - Kredit foto: icj-cij.org


Setelah 100 hari, sedang Mahkamah Dunia atau lebih tepat lagi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bersidang, lebih 23,700 warga awam Gaza terbunuh, lebih 60,000 tercedera, lebih 8,000 masih di bawah runtuhan dan lebih 100 kanak-kanak terbunuh setiap hari. Belum lagi yang mati kerana tidak dapat rawatan, kebuluran dan dijangkiti penyakit.

Semua ini dikumpul dengan fakta yang konkrit. 

Inilah realiti yang cuba diselindungi oleh aparteid Israel. Malah secara terus terang Israel sanggup berbohong di hadapan 15 hakim dan jutaan penonton pembicaan di ICJ di Hague.

Banyak hujah balas Israel tidak punya merit yang kuat dan hujah Afrika Selatan jelas kukuh bahawa Israel telah melakukan jenayah genosid (pembunuhan beramai-ramai).

Mendengar hujah balas Israel melalui tim peguamnya menentang Afrika Selatan dalam mahkamah ICJ, jelas mendedah pembohongan yang nyata di hadapan seluruh dunia. Israel gagal menjustifikasi hak mempertahan diri dengan melakukan genosid.

Bermula dengan cuba mencabar bidang kuasa ICJ untuk membicara jenayah genosid, menolak permintaan Afrika Selatan yang menfailkan dakwaan jenayah genosid, Israel mengulangi bahawa negara aparteid itu punya hak mempertahan diri.

Peguam Israel memutar belit fakta dan mengguna segala klausa dalam Konvensyen Genosid 1948 untuk ditafsir sesuai dengan segala tindakannya untuk memusnahkan Gaza atas alasan mahu menghapuskan Hamas.


Kredit foto: Agensi berita


Yang jelas Israel kini berdepan dengan dakwaan paling serius dengan bukti yang terlalu jelas bahawa operasi ketenteraan aparteidnya di Gaza jelas berniat genosid dan dengan nyata bertentangan dengan Konvensyen Genosid. 

Retorik niat genosid (genocidal intent) yang diguna oleh PM Nentayahu dan seluruh anggota kabinet perang yang ditubuhnya, terang-terangan menunjukkan sememangnya aparteid Israel berniat melakukan genosid diulang-ulang berkali-kali oleh Zionis Israel. Ini tidak lagi dapat disembunyi oleh aparteid Israel.

Soal sama ada dakwaan Afrika Selatan terhadap jenayah genosid berada dalam bidang kuasa ICJ atau tidak yang dihujahkan oleh Israel tidak boleh menafikan bahawa jenayah genosid benar-benar telah dilakukan oleh aparteid Israel.

Hujah Israel bahawa mengebom sekolah, masjid, gereja, hospital dan ambulans dengan alasan Hamas berselindung di sebaliknya dan di sekeliling dan berdekatan dengan premis awam itu adalah tidak masuk akal. 

Semua insiden serangan Israel adalah rambang dan sememangnya berniat membunuh semua tanpa kecuali.

Mana mungkin tentera Israel tidak tahu bahawa di dalam hospital ada pesakit, bayi, kanak-kanak,  kaum wanita dan warga tua, tetapi terus dibom tanpa sebarang pertimbangan. 

Mustahil sekolah dan masjid serta gereja yang dibom semuanya menjadi tempat berselindung pejuang Hamas. Malah dakwaan Israel ini tidak punya bukti yang kukuh.

Kali ini Israel mesti dikenakan tindakan undang-undang atas jenayah yang terlalu nyata. 


Pasukan undang-undang antarabangsa dari Afrika Selatan. - Kredit foto: Agensi berita


Israel sudah dikenali sebagai negara aparteid oleh PBB. Kini Israel mesti diistiharkan sebagai negara genosid. 

Dunia kali ini akan melihat sejauh mana Israel akan dihukum  Selama 75 tahun Israel melakukan jenayah perang, jenayah kemanusiaan, kesalahan aparteid dan pembunuhan secara massal, tanpa sebarang hukuman (with impunity). 

Israel seolah-olah kebal daripada sebarang undang-undang antarabangsa termasuk puluhan resolusi yang dilulus oleh Majlis Kesalamatan PBB (UNSC).

Pembunuhan sewenangnya sepanjang 75 tahun tidak diambil kira oleh Israel sama sekali. Sistem undang-undang tentera (martial law) diguna ke atas penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat tidak dipeduli oleh Amerika Syarikat sebagai pendalang kepada negara penjenayah ini.

Amerika patut turut dihukum sebagai penyokong penjenayah genosid. Amerika membekal senjata pembunuh tercanggih kepada Israel.

Kami menuntut kerajaan Malaysia secara aktif bersama negara-negara lain yang menyokong tindakan Afrika Selatan mengheret Israel ke Mahkamah Dunia.

ICJ perlu mengambil keputusan memaksa aparteid Israel menghentikan perang dan juga menghentikan Israel daripada meneruskan jenayah genosid.


Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)


14
12
0
11
0
You will be interested