Politik & Negara 08 Sep, 2024

Kenapa sentimen berprasangka terhadap agensi Islam kerap ditimbulkan! Apa tujuan? Apa niat? - MAPIM

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Kami menolak dengan tegas gabungan agama bukan Islam yang mempersoal tindakan Jakim meletakkan pegawai di jabatan-jabatan kerajaan dan menggunakan peruntukan kewangan untuk urusan Islam dalam negara ini.

Komentar mempersoal urusan Islam ini sangat tidak wajar dalam hasrat kerajaan mengukuhkan amalan Islam dalam pengurusan kerajaan.

Sekali lagi nampaknya golongan yang bersikap negatif terhadap cara kerajaan mengendalikan polisi Islam dipersoal. Ini adalah tanda bahawa pendekatan keharmonian antara agama yang diguna oleh kerajaan tidak dihormati. 

Kami bertegas pemimpin agama lain tidak harus mencetuskan prasangka terhadap pentadbiran Islam. Negara ini sudah lama menerapkan Islam dalam pentadbiran dan tidak pernah dipersoal.

Hanya kelompok berfikiran sekular dan Islamofobik yang mencuriga pendekatan Islam dalam urusan kerajaan.  

Kami persoal apakah status agama lain terjejas dengan penempatan pegawai Jakim yang terlatih untuk  menjalankan tugas menyemarakkan nilai Islam dalam pentadbiran? Di manakah ia merugikan atau menjejas status agama lain?

Komentar mereka mencetuskan debat yang sengaja membangkitkan isu agensi agama melaksanakan polisi menerapkan nilai Islam dalam tatakelola pentadbiran negara adalah tidak wajar sama-sekali.

Kami persoal kenapa sentimen berprasangka kepada agensi Islam kerap ditimbulkan. 

Apa tujuan kumpulan ini mempersoal pengurusan agensi Islam memantapkan kefahaman dan kesedaran Islam dalam pentadbiran negara?

Apa niat kumpulan ini melontarkan komen mengenai status dan usaha kerajaan dalam hal ehwal Islam, walhal kedudukan agama lain tidak pernah dipersoal? 



Berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan persekutuan, penganut agama lain diberi hak mengamalkan agama masing-masing dengan aman. 

Kami berpendirian komentar seperti ini tidak harus menjejaskan fungsi agensi Islam. Sementara pendekatan hiwar (dialogue) harus diguna dengan hikmah dan mauizah hasanah (pengajaran yang baik) diaplikasikan dalam sebarang perdebatan, tetapi penegasan perlu disuarakan agar kebebasan berbicara jangan disalah guna yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Kami menyokong pendirian Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) untuk mempertahan tindakan Jakim. 

Kerangka perlembagaan dan kerukunan hidup antara agama menjadi asas negara ini dibangunkan. 

Tidak harus ada pihak yang dibenarkan menyalahgunakan kebebasan bersuara secara sembrono dengan tidak menghormatikan sensitiviti antara agama.

Kami berpendirian semua pihak perlu memelihara keharmonian dalam negara majmuk ini demi memastikan masa depan negara dapat dijamin, aman dan sejahtera.


Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)


12
13
0
10
0
You will be interested