Politik & Negara 27 Jul, 2023

Ekonomi Madani: Memperkasa rakyat! Menstrukturkan semula ekonomi! Meningkatkan kualiti hidup semua!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Ringkasan Ucaptama Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat 

Kerangka yang bertujuan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia


Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini (27 Julai 2023) telah meluncurkan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, kerangka ekonomi yang menggariskan dua fokus utama iaitu: 

  • (i) menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia; dan 
  • (ii) meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia. 



Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat akan menjadi satu wawasan untuk kita membina Malaysia yang lebih baik untuk kita dan anak-anak kita. 

Wawasan ini menyasar untuk ‘Menaikkan Siling’ dengan menstruktur semula ekonomi agar negara dapat mengecapi lebih kekayaan. 

Penstrukturan ini termasuklah menganjak ekonomi Malaysia kepada sebuah ekonomi yang lebih global dan kompleks, dan sekali gus menempatkan Malaysia menjadi hab serantau, mencipta lebih banyak juara rantauan Malaysia sambil menjamin sekuriti dan kemampanan model ekonomi negara. 

Dengan ‘Menaikkan Lantai’, keadilan sosial akan diutamakan bagi memastikan kekayaan yang dikecapi dapat dikongsi bersama oleh rakyat secara lebih saksama. 

Ini termasuklah membina pekerjaan-pekerjaan yang akan memberi taraf hidup bermakna serta memberi kesaksamaan peluang bagi semua lapisan masyarakat untuk menggapai kejayaan. 

Kerajaan juga akan memfokus untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia, terutama menambah baik kualiti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, dan infrastruktur asas bagi rakyat di bandar mahupun desa. 

Wawasan ini akan dibina berasaskan nilai-nilai Madani dan memerlukan penggemblengan seisi masyarakat Malaysia untuk merealisasikan visi ini. 



Ekonomi Madani yang memandang ke hadapan dalam skop yang lebih luas menetapkan tujuh penanda aras utama sebagai sasaran jangka masa sederhana yang ingin dicapai iaitu: 

  • Pertama: Malaysia berada pada kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia; 
  • Kedua: Indeks Daya Saing Global pada tangga ke-12 teratas dunia; 
  • Ketiga: Peratusan pendapatan buruh mencapai 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan; (nota: sasaran RMKe-12 adalah 40% menjelang 2025) 
  • Keempat: Kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60%; 
  • Kelima: Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia; 
  • Keenam: Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia; dan 
  • Ketujuh: Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3% atau lebih rendah. 

Perdana Menteri juga telah mengumumkan beberapa dasar jangka panjang dan sederhana untuk menyambung trajektori pertumbuhan Malaysia. Ini termasuklah: 

  • (i) Kerajaan bersama dengan GLIC akan melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong technopreneur. Ini termasuk memastikan penyediaan dana bagi setiap fasa syarikat berpertumbuhan tinggi.
  • (ii) Penambahbaikan skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120% daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000. Jaminan 120% akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabut dan kos ubah suai. Sehubungan itu, jaminan Kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan. 
  • (iii) Peruntukan tambahan sebanyak RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi termasuk SME Corp, Tekun, Mara dan Teraju. 
  • (iv) Kerajaan bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah dengan bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta rakyat iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion. 



  • a) Menambah pekerjaan dengan gaji bermakna dan munasabah: melaksana dasar untuk meningkatkan peningkatan upah berbanding kutipan dalam negara kasar (KDNK) kepada 45% yang selaras dengan tahap negara maju (daripada 32.4% pada 2022), kajian semula tahap gaji minimum serta memperkenalkan undang-undang yang menjamin persekitaran kerja, dan pelaksanaan levi pekerja asing berperingkat untuk mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir. 
  • b) Kesaksamaan peluang tanpa mengira jantina, kaum, atau latar belakang: mengutamakan golongan berpendapatan rendah dalam pemberian biasiswa dan pendidikan berasrama penuh, mengukuhkan nilai rantaian ekonomi sesebuah negeri berdasarkan tumpuan sektor masing-masing, meningkatkan daya huni (liveability) dan kemampanan bandar, memperbaiki aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan supaya menaikkan kadar penyertaan buruh wanita kepada 60% daripada 55.5%. 
  • c) Jaringan perlindungan sosial untuk semua: pencegahan melalui Insurans Sosial untuk memanfaatkan lebih 40% tenaga buruh dari sektor formal dan tidak formal yang tidak mendapat perlindungan untuk simpanan persaraan sewajarnya, memastikan tahap simpanan persaraan mencukupi, dan meneruskan serta menguatkan lagi jaring keselamatan sosial rakyat. 
  • d) Reformasi perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan sumber manusia: memampankan sektor kesihatan berdasarkan garis panduan Kertas Putih Kesihatan, merawat pesakit berkonspekan pencegahan penyakit, dan jaminan pemberian pendidikan bagi semua rakyat Malaysia. 
  • e) Pengangkutan awam: menyatukan pengurusan pengangkutan awam darat untuk mengoptimumkan semua aset sedia ada, dan menambah baik isu jaringan terakhir (last mile connectivity). 
  • f) Kemudahan asas: menyelesaikan akses bekalan air di Sabah dan Kelantan agar semua rakyat Malaysia menikmati akses sejagat infrastruktur asas. 
  • g) Perumahan mampu milik untuk semua: mengusahakan Pelan Tindakan Perumahan Negara yang antaranya merangkumi keperluan bekalan rumah berpandukan metrik seperti catuan harga rumah median untuk pendapatan median. Penyediaan perumahan awam turut diteruskan di samping merancakkan pasaran sewa sebagai usaha memenuhi keperluan perumahan. 



Pelonjakan “siling” negara adalah untuk memajukan ekonomi Malaysia sepadan dengan objektif untuk menjadi peneraju ekonomi Asia. Berikut adalah garis panduan bagi objektif tersebut dalam Ekonomi Madani: 

  • a) Agenda serantau (ASEAN): mengkapitalisasi isu rantaian global dengan menjadikan Malaysia sebagai pembekal rantaian bekalan yang baru muncul terutamanya bagi pasaran Asia Timur dan menaikkan daya-saing dan nilai tambah tinggi sektor-sektor ekonomi sedia ada di Malaysia. Ekonomi Madani berhasrat untuk mengangkat Malaysia kepada salah satu daripada 30 ekonomi terbesar di dunia dan mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 5.5% setahun secara konsisten. 
  • b) Meningkatkan daya saing negara sebagai destinasi pelaburan: memperkukuh agensi galakan pelaburan, mengkaji semula insentif pelaburan, dan menaik taraf kawasan perindustrian. 
  • c) Meluaskan pasaran dan potensi perniagaan tempatan, daripada perniagaan mikro kecil sederhana (PMKS) kepada firma-firma tersenarai: syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan terus memacu pelaburan langsung domestik (DDI) dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik bagi melahirkan lebih banyak syarikat-syarikat tempatan berpasaran global, meningkatkan pembiayaan bagi memacu pertumbuhan eksport termasuk Program Pembangunan Syarikat Pertengahan serta Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh Matrade, serta merancakkan pasaran saham dan ekuiti persendirian dari segi penyertaan pelabur rakyat biasa dan syarikat-syarikat mencari pelaburan. Kerajaan juga berikrar untuk memberi insentif supaya perbelanjaan kasar R&D meningkat kepada 3.5% kadar KDNK menjelang tahun 2030. 
  • d) Peneraju ekonomi Islam global: memperluaskan instrumen-instrumen pelaburan dan pembiayaan Islam kepada pembiayaan ekuiti termasuk venture capital, equity crowdfunding dan ekonomi digital Islam, kewangan sosial Islam termasuk zakat, wakaf dan sadaqah, serta kaedah blended finance yang akan mengunakan modal dan dana daripada sumber yang luas. 
  • e) Merancakkan usahawan mikro dan sektor tidak formal: mengulangi komitmen penyediaan pembiayaan mikro serta mengalu-alukan syarikat-syarikat pemula Malaysia yang boleh menjadi agen perubahan sektor PMKS. 
  • f) Pertumbuhan hijau demi pertahanan iklim: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR) akan menjadi panduan untuk peralihan tenaga Malaysia dan mengubah cara tenaga dijana di Malaysia demi meningkatkan ketahanan iklim. Insentif baharu bagi menggalak aktiviti pertumbuhan hijau baharu seperti aktiviti CCUS (Carbon Capture, Utilisation & Storage) juga akan diperkenalkan. 
  • g) Penggunaan tanah dan keterjaminan makanan: mengoptimum penggunaan tanah pertanian sedia ada dengan menggunakan aplikasi teknologi pertanian. Penciptaan aset biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon melalui usaha pemuliharaan dan penghutanan semula perlu dipergiat untuk menambah baik integriti persekitaran. 


Kementerian-Kementerian Kerajaan Malaysia akan menzahirkan maklumat-maklumat terperinci dan mekanisma-mekanisma untuk menjayakan Ekonomi Madani dalam masa yang terdekat melalui kerangka-kerangka khusus termasuklah Pelan Induk Perindustrian, NETR, dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12. 


PEJABAT PERDANA MENTERI

27 Julai 2023


10
10
0
11
0
You will be interested