Politik & Negara 29 Dec, 2023

Perang Hamas-Israel mungkin tamat sebulan lagi! Saya mimpi anak di Gaza syahid! - Nadir Al-Nuri

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


BERMULA dengan pembabitan dalam misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza 11 tahun lalu, MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN kini jatuh cinta sepenuhnya di bumi yang berkah itu. Perkahwinannya dengan wanita Palestin, Reem Al-Minawi pada 2016 menjadikan beliau bapa kepada lapan anak.

Wartawan KitaReporters, ROSLAN IBRAHIM berpeluang menemu bual Nadir ketika Majlis Penyerahan Sumbangan RM70,500 daripada Starun Malaysia kepada Cinta Gaza Malaysia. Wang itu hasil derma peserta yang menyertai acara "Free Palestine Virtual Run" yang dikendalikan syarikat itu dari November dan Disember 2023.

Seramai 5,879 peserta dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia mengambil bahagian. Pemilik Starun Malaysia, Abdul Muhaimin Md Khir menyampaikan sumbangan itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri di pejabatnya di Bandar Baru Bangi, Selangor.


KITAREPORTERS: Peperangan di antara Hamas dan Israel sudah berlarutan hampir tiga bulan, angka korban meningkat lebih 19,000 nyawa. Apa pandangan saudara mengenai perkara ini. Apakah tanda-tanda sengketa ini akan berakhir?


NADIR AL-NURI: Matlamat Israel di Gaza untuk mencapai dua agenda, pertama mengusir Hamas. Kedua, mencari semua tawanan yang disembunyikan oleh Hamas selepas serangan 7 Oktober 2023. Dan, melihat kedua-dua tujuan itu, mereka gagal!

Justeru, mereka akan melakukan apa saja walaupun melampaui batas-batas normal seorang manusia yang waras.

Buktinya, puluhan rakyat Palestin terkorban dalam cara yang cukup tragis dan menyayat hati apabila tentera Zionis menggunakan jentolak melanggar sebuah khemah yang ditempatkan di luar Hospital Kamal Adwan.

Ini perlakuan terdesak tentera Zionis. Tapi, Perdana Menteri Israel , Benjamin Netanyahu masih mahu menunjukkan kepada rakyatnya, tentera Yahudi mampu menghapuskan Hamas dan membawa pulang tahanan Yahudi. Hakikatnya, mereka amat terdesak dan berada di hujung nyawa apatah lagi ramai tenteranya terkorban sejak akhir-akhir ini.

Melihat perkembangan terkini, saya yakin Israel akan menghentikan peperangan, paling lama dua atau tiga minggu atau sebulan lagi. Cuma, kita bimbang tindakan mereka dalam tempoh itu, mungkin lebih ramai penduduk Palestin akan menjadi korban.

Kebiasaannya dalam strategi peperangan, tempoh dua tiga minggu akan ada "turning point" dan begitulah seterusnya. Kita boleh lihat dalam dua atau tiga minggu pertama , mereka menyerang melalui udara, tiga minggu berikutnya, tentera masuk melalui jalan darat dari sebelah utara, kemudian berpindah ke selatan.

Israel pada peringkat tertekan dengan bantahan kuat masyarakat antabangsa. Yang tinggal sekarang Amerika Syarikat, itu pun 70 peratus rakyatnya marah kerana pemimpin mereka menyokong Israel. Sebab itu, mereka mungkin bertahan dua atau tiga minggu, dan paling lama sebulan.

Kredit foto: FB Nadir Al-Nuri


KITAREPORTERS: Saudara tinggal 11 tahun di Gaza, berkahwin dengan wanita Palestin, bergaul dengan penduduk tempatan dan pejuang Hamas. Apa pandangan saudara mengenai jati diri mereka, bolehkah mereka bertahan dengan serangan Israel setiap hari? 


NADIR AL-NURI: Kekuatan penduduk Palestin ialah mereka nampak apa ada di hadapan mata. Bila dia nampak matlamat itu dan perlu bergerak ke arah itu, dia akan bersedia untuk berkorban apa saja. Bagi sesetengah umat Islam, kita susah berkorban sebab tidak nampak apa-apa di penghujungnya. Dan, saya lihat perang kali ini agak luar biasa. Biasanya serangan bermula ke atas Gaza, kemudian Israel akan menanti serangan dari Hamas. Pada 2014, peperangan selama 51 hari, dan beberapa kejayaan Hamas menggembirakan penduduk Palestin. Jadi,mereka sanggup bertahan untuk beberapa minggu lagi. Kemudian dapat berita pula, tentera amfibia Hamas lancar serangan di sebelah utara, Dan, ini tambah menggembirakan mereka, jadi mereka tidak kisah dengan pengeboman atau serangan Yahudi. Bertahan untuk dua atau tiga minggu juga tiada masalah. Dan, selepas 51 hari, tentera Israel angkat bendera putih tapi penduduk Palestin masih boleh bertahan. Jika boleh bertahan selama berpuluh tahun, apa sangat pengorbanan untuk tempoh dua atau tiga minggu atau sebulan? Hamas banyak mencapai kejayaan dalam peperangan kali ini dan ini menggembirakan penduduk Palestin. Dan, jika ditakdirkan peperangan berlanjutan lebih lama, mereka boleh bertahan kecuali jika anak-anak mereka mati kelaparan atau kehausan. 

Tapi, sejak saya di Gaza 11 tahun, tiada kes penduduk Palestin mati kebuluran atau kehausan. Ini kerana Gaza adalah bumi yang diberkati dan mereka saling membantu bagi memastikan sesama mereka cukup makan.


KITAREPORTERS: Kenyataan media Angkatan Pertahanan Israel (IDF) - sepatutnya Angkatan Penaklukan Israel (IOF) - bahawa ramai pejuang Hamas sudah menyerah diri dan mereka membunuh ramai tentera Hamas. Adakah ini sekadar propaganda Israel bagi melemahkan mental penduduk Palestin?

NADIR AL NURI: Ada antara berita itu benar seperti mereka jumpa terowong. Tapi tak peliklah sebab di Gaza ada beratus-ratus terowong. Jika setakat jumpa satu atau dua terowong biasalah, malah kadangkala terowong itu tidak digunakan atau ditinggalkan tentera Hamas selepas misi mereka selesai.

Sepatutnya Israel ceritakan dalam terowong itu jumpa apa, senjata ke atau mayat tentera Hamas atau jumpa tahanan Israel yang disorokkan. Tapi benda itu mereka tidak jumpa. 

Sebaliknya pada awal perang, mereka mendakwa tentera Hamas menyembelih bayi, tapi dakwaan itu tidak bersandarkan bukti, sekadar hebahan biasa, siapa nak percaya.

Dan, mereka juga ceritakan tentera Hamas menculik tawanan dari tanah haram Israel, membunuh tahanan itu. Tapi akhirnya terbukti, yang menyerang dan menembak orang ramai di wilayah Israel adalah tentera mereka sendiri. Begitu juga tiga tahanan yang ditembak selepas melarikan diri. Tentera Israel yang membunuh walaupun mereka mengangkat bendera putih.

Selepas itu, mereka ceritakan pula ada terowong bawah tanah yang ditemui di Hospital Al Shifa tapi Hamas berkata mereka memang mempunyai ratusan kilometer terowong rahsia, kubu dan lubang akses di seluruh Palestin tapi infrastruktur itu bukan terletak di kawasan hospital.

Tidak puas hati dan mengelak malu, mereka mengosong Hospital Al Shifa dan menghalau penduduk dan pesakit. Mereka mencari terowong tapi tak jumpa. Satu demi satu dakwaan mereka gagal dibuktikan. 

Sekarang dia bawa cerita, dalam serangan di tanah haram Israel pada 7 Oktober 2023, ramai wanita Israel dirogol tentera Hamas tapi apabila disiasat, satu bukti pun tiada.

Kaedah propaganda Israel, mereka boleh buat kenyataan walaupun tiada bukti. Dulu mungkin masyarakat dunia percaya tapi dengan teknologi terkini media massa, masyarakat dah tahu tembelang mereka. Sebab itu, apabila terlalu banyak menipu, akhirnya memakan diri sendiri.

Kredit foto: FB Nadir Al-Nuri


Penulis (kiri) menemu bual Nadir Al-Nuri perkembangan terkini di Gaza.


KITAREPORTERS: Bagaimana pula dengan dakwaan IDF bahawa mereka sudah memenuhkan terowong Hamas dengan air laut. Apakah strategi itu berhasil atau sekadar retorik untuk melemahkan mental Hamas?


NADIR AL NURI: Perkara itu pernah berlaku selepas era bekas Presiden Mesir, Almarhum Dr Mohamed Morsi. Ketika Morsi memerintah, ada ribuan terowong untuk keluar masuk, membawa barangan dan ubatan termasuk kenderaan dari Mesir ke Gaza.

Tapi selepas Morsi digulingkan, mereka mengosongkan terowong sehingga jarak tiga kilometer di Mesir dengan menebang pokok-pokok,  meruntuhkan rumah-rumah dan menghalau penduduk. Tempat itu dijadikan markas tentera.

Tentera Mesir menutup semua terowong dan mengepam air laut bagi memastikan ia tidak boleh digunakan lagi. Sebenarnya cerita mengepam air laut ni, Mesir dah buat dulu, Israel cuma tiru. Memang strategi itu memberi sedikit kesan tapi tidak akan melumpuhkan rangkaian terowong secara keseluruhan.

Terowong yang digali Hamas ini berbeza dengan terowong yang digunakan penyeludup kerana terowong mereka lengkap dengan sistem infrastruktur, disimen, selamat dan boleh dilalui kenderaan biasa. 


KITAREPORTERS: Dengan peperangan sudah berlanjutan terlalu lama, adakah saudara merasakan penduduk Palestin masih boleh bertahan dengan serangan bertali arus setiap hari. Apa kekuatan mereka sekarang?

NADIR AL-NURI: Setakat ini kita lihat tiada perubahan semangat penduduk Palestin, kecuali berita setiap hari ada penduduk Palestin mati syahid. Dan, mereka mungkin sedikit keletihan kerana terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Mereka makan apa saja seperti roti dan kadangkala daging. Ini berlaku apabila penternak lembu yang merasakan ladang mereka mungkin dibom tentera Israel, menjual daging dengan harga murah atau memberi kepada penduduk secara percuma. 


KITAREPORTERS: Bagaimana perkhabaran daripada keluarga saudara di Gaza, bila kali terakhir menghubungi mereka?

NADIR AL-NURI: Berita terkini, mereka masih hidup dan berada di bahagian selatan, waktu pagi mereka berlindung di sekolah. Waktu malam saya diberitahu ada lelaki misteri memberi ehsan untuk tinggal di rumahnya. Berita itu diperolehi dua minggu lalu.

Keselamatan mereka seperti di hujung tanduk kerana tentera Zionis boleh melakukan apa-apa saja. 

Mengenai anak bongsu saya, Ibrahim. Dia lahir 2021 dan ditempatkan di ICU Hospital Al Shifa hampir tiga minggu sebab lahir awal. Dan, ketika di ICU berlaku perang 11 hari. Ketika itu saya sibuk dengan tugas membantu penduduk Gaza. Apabila. mendapat tahu ada pengeboman dekat hospital berkenaan, saya akan hubungi pihak hospital dan melawat Ibrahim. 

Tapi, sejak akhir-akhir ini, saya sering bermimpi mengenai anak-anak termasuk Ibrahim. Sekarang dia dah berusia dua tahun dan wajah mirip saya. Memang tiga anak kandung lebih mirip orang Melayu, mungkin gen Melayu kuat  kot. (ketawa).


Kredit foto: FB Nadir Al-Nuri


KITAREPORTERS: Ceritakan mengenai usaha-usaha Cinta Gaza Malaysia mengutip derma. Bagaimana sambutan rakyat negara ini?
NADIR AL-NURI: Sasaran saya untuk tabung Palestin ini sebanyak RM60 juta. Sekarang dah dapat RM52 juta dan kami sudah menyalurkan hampir RM6 juta untuk membeli barangan kepada penduduk Gaza. Kami ada hubungan dengan syarikat di Gaza yang membekalkan  baju dan makanan. Kita berjanji kepada mereka untuk membuat pembayaran selepas tamat peperangan. 

Mereka beri kepercayaan kerana kami sudah lama bekerjasama. Kadangkala kami dapat maklumat ada peniaga yang kedainya mungkin dibom. Jadi, kami beli terus dari peniaga terbabit untuk diagihkan kepada penduduk. 

Untuk masuk dari luar agak sukar, jadi kita gunakan orang di Gaza. Memang tiada pilihan untuk masuk apatah lagi sempadan di Rafah masih ditutup dan jika dibuka pun hanya sedikit lori dibenarkan masuk.


KITAREPORTERS: Kes Aman Palestin dengan SPRM sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada NGO lain termasuk Cinta Gaza Malaysia  untuk mengutip derma. Bagaimana saudara mahu memastikan sumbangan yang diterima telus dan tidak berlaku ketirisan? 


NADIR AL-NURI: Bila semua dokumentasi kita jelas dan telus mengikut undang-undang, jadi saya fikir tiada masalah. Setiap tahun, Cinta Gaza Malaysia membuat audit dalaman dan menghantar laporan kepada Pendaftar Syarikat (ROS) tapi untuk lebih ketelusan, kami tetap mengambil audit luar. 

Dah lebih 70 hari peperangan di Gaza, momentum rakyat kita semakin lama semakin perlahan. Jika dulu sehari boleh dapat RM1 juta tapi sekarang, RM100,000 sudah dikira okey. Kadangkala perlu peperangan untuk membolehkan masyarakat terus memberi sumbangan kepada penduduk Palestin. 

Sebenarnya jika tiada peperangan pun, warga Gaza masih hidup dalam kesusahan, makanan tidak mencukupi, tiada elektrik dan hidup dalam kepungan Israel sejak 2006. 

 Sekarang musim sejuk pula, kami bimbang mengenai anak-anak kecil mungkin mati akibat kesejukan. Musim sejuk taklah sampai takat beku tapi ada tempat berlaku salji seperti Tebing Barat. Apa yang kami buat ialah membina khemah sementara dan pelindung plastik bagi mengelak hujan dan kesejukan lebih teruk. 

Kami pun mendapat bekalan pakaian untuk penduduk yang terjejas dengan musim sejuk dan setakat ini ia memberi manfaat kepada 20,000 penduduk.


Abdul Muhaimin Md Khir (dua dari kiri); Nadir Al-Nuri (dua dari kanan); isteri Abdul Muhamin, Nur Shuhada Adnan (kiri); dan Eksekutif Strategik Cinta Gaza Malaysia, Ajwad Mohd Shafie (kanan) bersama replika cek RM70,500.


KITAREPORTERS: Apa harapan saudara mengenai apa yang berlaku di Gaza. Apakah masih ada harapan untuk rakyat Palestin hidup seperti sebelum ini?


NADIR AL-NURI: Orang Malaysia tidak boleh menyokong isu Palestin atas dasar simpati semata-mata. Bila sokong atas dasar simpati, apabila peperangan tamat, dia akan hilang rasa untuk bersama penduduk Palestin. Mereka perlu menyokong isu Palestin ini melalui pembacaan, tengok bagaimana Palestin dijajah.

Bila kita faham mereka itu berada dalam penjajahan dan cara kotor digunakan oleh Zionis untuk mengambil negara mereka, kita akan faham dan mahu terus bersama Palestin. 

Sebenarnya, kita tak cinta Palestin, kita hanya kasihankan mereka. Jika kita cintakan Palestin, kita akan tetap bersama mereka tidak kira peperangan atau tidak. Tak cinta sebab kita tak kenal. Saya dah kenal sebab itu saya cintakan mereka.

Saya masih menaruh harapan dapat berjumpa keluarga saya selepas perang. Hari-hari terakhir ini saya banyak bermimpi anak-anak saya, merangkul Haura' Al Jinan, lima tahun. Saya juga bermimpi ditembak oleh tentera Zionis Israel, mimpi anak-anak saya mati syahid, jatuh dari tempat tinggi dan saya berlari mendapatkan mereka, mendokong dan cuba bercakap. Mereka menggerakkan mulut tapi tidak boleh bercakap. 

Lepas itu, saya terjaga, perasaan terlalu sedih sehingga kaki pun menggeletar. Saya rasa seperti kehilangan mereka. Tapi, alhamdulillah kisah sedih itu hanya dalam mimpi. Saya terima mesej anak saya yang mati syahid dalam mimpi itu masih hidup. Ketika saya menghubunginya, dia baru bangun tidur dan cakap jangan ganggu dia sebab dia nak tidur.  


KITAREPORTERS: Apakah kekuatan saudara menghadapi situasi yang sukar ini?
NADIR AL NURI: Kata kunci orang Palestin ialah apabila berlaku perkara yang kita tidak boleh kawal, jalan terbaik ialah Tawakal. Kita ada Allah. Saya berdoa setiap hari lepas solat, malam dan siang. Apa lagi yang saya boleh lakukan. Jika peperangan tamat, pasti saya balik ke Gaza untuk merangkul dan mencium mereka sepuas hati. Semoga anda (pembaca) mendoakan keluarga saya selamat!

Penulis (dua dari kanan) bergambar bersama Nadir Al-Nuri (tiga dari kanan), Najwa Mohd Shafie (kanan), Abdul Muhaimin Md Khir (dua dari kiri) dan Nur Shuhada Adnan.

32
9
10
11
1
You will be interested