Politik & Negara 05 Oct, 2025

Syukur! 23 wira, wirawati GSF Malaysia terima pemeriksaan, sokongan! Selamat tiba di Istanbul! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Kesemua 23 rakyat Malaysia yang diculik dan ditahan Israel kerana menyertaI Global Sumud Flotilla (Flotila Sumud Global) 2025 selamat tiba di Istanbul, Turkiye pada Sabtu, 4 Oktober 2025.



"23 wira dan wirawati kita selamat tiba di Istanbul, Türkiye. Kesemua mereka kini akan diberikan pemeriksaan kesihatan, sokongan dan bantuan menyeluruh termasuk aspek psikologi.

"Jentera kerajaan di bawah kendalian Kementerian Luar Negeri di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka kembali ke bumi Malaysia dalam masa terdekat. 

"Semoga semua urusan perjalanan pulang anak-anak Malaysia ini dipermudah dan dilindungi Allah SWT. Alhamdulillah!," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran dalam akaun rasmi Facebooknya pada 4 Oktober 2025.



Terdahulu, kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang telah dibebaskan selepas diculik dan ditahan oleh Israel ketika menyertai misi GSF 2025, dilaporkan telah dibawa menuju ke Lapangan Terbang Ramon sebelum diterbangkan ke Istanbul dengan pesawat khas Turkiye.

Dalam satu hantaran yang lain, Anwar berkata, pembebasan semua wira dan wirawati Malaysia dalam GSF adalah berkat doa rakyat Malaysia dan usaha berterusan semua pihak.

"Syukur ke hadrat Allah SWT, berkat doa rakyat Malaysia dan usaha berterusan semua pihak yang menggalang seluruh kekuatan akhirnya membuahkan hasil.

"Terima kasih kepada sahabat karib saya Presiden (Turkiye)(Recep Tayyip) Erdogan dan rakan pimpinan negara-negara sahabat lain yang membantu memudahkan urusan pembebasan setiap aktivis dan sukarelawan anak Malaysia ini," jelas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media


12
10
0
15
0
You will be interested