Politik & Negara 03 Jan, 2024

Kalimat Presiden MAPIM: 2024 disambut penuh perasaan kecewa dan marah! Tapi ada sekelumit harapan?

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID

Presiden MAPIM 


Menyambut 2024 , penuh perasaan kecewa dan marah. Ada sekelumit harapan, namun perjalanan 2024  dibuka dengan lembaran yang sangat rumit, kompleks dan penuh kontradiksi . 

Dunia berada dalam persimpangan yang kronik ketika kemanusiaan menjadi mangsa kepada kerakusan dan pelenyapan nilai keadilan dan kesaksamaan antara manusia.   

Keadaan di Gaza mencuri seluruh perhatian dan tumpuan. Gaza bermandi darah selama 85 hari menjelang detik jam 12.00 malam 2023 bermula 7 Oktober 2023.
Kini nampaknya dunia akan melangkah ketahun 2024 dengan jumlah yang bakal terbunuh terus meningkat di Gaza dan Tebing Barat. Jika situasi di Gaza tidak kelihatan mereda , dunia akan menyaksikan tercetusnya perang yang bakal melebar. 

Natijahnya sangat mengerikan jika kuasa besar sedia melancarkan perang proksi dengan penggunaan senjata pembunuh tercanggih di dunia. 



Tahun 2023 berakhir dengan Gaza menjadi medan pembunuhan massa yang tidak terbayang. Yang pasti masyarakat antarabangsa menunjukkan kegagalan yang amat jelas. 

Dunia menjadi saksi kepada pembantaian ke atas kanak-kanak dan wanita di Gaza setiap detik tanpa berbuat apa-apa selain hanya kata-kata . Setiap hari menyaksikan nyawa hilang tanpa pembelaan. Genosid berlaku terang-terangan dan pelakunya terlepas dari sebarang hukuman.

Tahun 2023 meninggalkan legasi kezaliman manusia ke atas manusia yang tidak terkata. Pemimpin dunia hanya mampu meluahkan kata-kata, selebihnya hanya menonton seperti sekitar 8 bilion manusia yang lain di muka bumi hampir semuanya tidak bermaya dan putus asa serta kecewa.
Setelah Covid mereda dan dunia mulai melangkah untuk pulih, 2023 didatangi dengan keganasan perang yang sangat tegang.

Hegemoni kuasa besar jelas mahu mencatur dunia mengikut selera yang dimahukan. Dunia terbelah kepada dua pesaing besar yang tidak mahu mengalah. Perang dingin kembali di persada dunia tetapi kali ini ia bakal meledak kepada perang proksi. 

Sementara itu, isu perubahan iklim dan keterjaminan makanan menjadi debat dunia sepanjang 2023. 

Bencana alam yang kerap dan semakin intensi . Pemanasan bumi, banjir yang memusnahkan , taufan dan gempa bumi yang menghancurkan telah menatijah ratusan juta manusia berdepan nasib yang tidak menentu .

Krisis kesihatan yang belum cukup tuntas sehingga mengakhiri 2023 , menunjukkan betapa negara-negara kecil menagih ihsan dari kuasa besar. Semakin jelas politik kesihatan nampaknya mencetus teori konspirasi yang semakin menimbulkan kesangsian dunia terhadap sistem kesihatan dunia.
Manipulasi sosioekonomi kuasa besar meninggalkan kesan bukan kepalang. Jutaan manusia kebuluran, hilang tempat tinggal, terbunuh akibat perang dan penyakit. 

Sementara ekonomi yang mencengkam golongan bawahan telah merumitkan kehidupan dan kelangsungan hidup. Kemiskinan tetap menjadi wajah dunia kepada sebahagian besar penduduk yang tidak dapat diselesai dengan tuntas. 



Bagi Malaysia, apakah 2024 bakal membawa harapan? Pertempuran politik nampaknya tidak reda. Perebutan kuasa terus menjadi tumpuan. Manakala nasib rakyat semakin rumit. Terlalu ghairah dengan politik akan melumpuh negara untuk melangkah ke hadapan.
Sebetulnya Malaysia masih dianggap negara istimewa. Secara relatif Malaysia masih jauh lebih selesa berbanding dengan negara lain. 

Apakah isu utama yang perlu ditangani. Sudah pasti yang diperlukan ialah tumpu kepada memperbaiki pengurusan negara. Rakyat mahu melihat negara menuju kepada pengukuhan ekonomi. Politik keharmonian tercabar dan negara masih bergelut dengan politik perkauman dan kesempitan berfikir.

Apapun 2024 tetap berada dalam episod kehidupan setiap warga. Menoleh  masa lalu  mencermati masa kini dan melangkah masa depan harus menjadi proses yang perlu dilalui jika 2024 akan menjadi lebih bermakna.

Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.



15
10
0
13
0
You will be interested