Politik & Negara 02 Oct, 2025

Mari sama-sama Keep Malaysia Clean! Tolak kegelapan rasuah! Telusuri jalan bersih serta suci! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Sebagai satu lagi usaha menolak dan membanteras rasuah, Kerajaan Madani kini meluncurkan pula inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Beliau berkata, inisiatif Keep Malaysia Clean (Kekalkan Malaysia bersih atau KMC) ini menjadi seruan untuk kita bangkit daripada lena, menolak kegelapan rasuah dan menelusuri jalan yang bersih serta suci.

"Al-Quran mengajar kita bahawa perjuangan menentang rasuah mesti bermula dari dalam diri, sebelum memancar kepada keluarga, masyarakat dan seluruh negara.

"Sejarah membuktikan betapa rasuah menjadi racun yang perlahan-lahan meruntuhkan tamadun. 

"Bangsa yang gagah akhirnya rebah apabila idealisme diganti kerakusan, dan kepimpinan dinilai bukan kerana kejujuran tetapi kerana kekayaan," tegasnya.

Anwar berkata demikian ketika menandai ulang tahun ke-58 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu, 1 Oktober 2025.



Menurut beliau, kerajaan menyanjung tinggi keberanian SPRM yang menyusur jalan berliku, berani bertindak terhadap sesiapa pun meski bergelar pembesar. 

"SPRM harus terus menjadi benteng utuh yang menjaga maruah bangsa agar ia tidak tergadai dan cita-cita kemerdekaan tidak terhakis," jelasnya.

Namun beliau memberitahu, perjuangan ini menuntut pengorbanan dengan para pegawai SPRM menempuh risiko besar ketika menggeledah mereka yang berpengaruh, yang menggenggam jutaan malah berbilion-bilion ringgit.

"Teruskanlah usaha besar ini, jangan pernah gentar melawan kegelapan rasuah. 

"Demi anak-anak kita, demi tanah air tercinta, bersihkanlah Malaysia sehingga maruah bangsa kembali gemilang dan nama negara ini terpahat di persada dunia sebagai bangsa yang luhur dan bermartabat," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media


18
11
0
4
0
You will be interested