Dari satu ruang bernama tandas awam, bermulalah usaha besar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengubah wajah kebersihan negara melalui konsep Tandas Awam Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) -- inisiatif yang turut seiring dengan semangat Malaysia Madani.

Inovasi pengurusan tandas pintar Rigel yang mengoptimumkan kebersihan, kecekapan dan penggunaan tenaga.
Inisiatif tersebut bukan sekadar projek kebersihan, tetapi satu gerakan sosial yang menzahirkan nilai Madani seperti kebersihan, keindahan dan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan rakyat.
Sejak diperkenal pada tahun 2023, konsep BMW menjadi landasan baharu dalam meningkatkan pengurusan kebersihan dan keselesaan tandas awam di seluruh negara.
Malah ia turut dipacu oleh penyedia peralatan bilik air, Rigel Technology (M) Sdn. Bhd. menerusi pembangunan teknologi sanitari hijau dan mampan apabila secara rasmi membuka bilik pameran baharu di Petaling Jaya pada Selasa 28 Oktober 2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan bahawa konsep BMW lahir daripada inspirasi kebersihan tandas awam di luar negara.
Menurut beliau, Malaysia juga wajar memiliki panduan tersendiri dalam membentuk standard tandas awam bertaraf dunia.
“Jika dilaksanakan dengan baik, konsep ini mampu meningkatkan imej negara, khususnya dalam kalangan pelancong asing,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Christopher Ng.
Mohd Fadzli Mohd Kenali berucap ketika mewakili Ng Kor Ming merasmikan bilik pameran Rigel di Petaling Jaya.
Menurut Kor Ming, pelaksanaan konsep itu turut menjadi antara langkah persiapan penting menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, bagi memastikan imej Malaysia pada mata pelancong kekal bersih dan menarik.
Konsep BMW turut digerakkan sebagai panduan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta sektor swasta dalam memastikan tahap kebersihan dan keselesaan tandas awam lebih konsisten di seluruh negara.
Ia juga menekankan peranan masyarakat dalam mewujudkan budaya kebersihan yang tinggi -- selaras dengan semangat Malaysia Madani yang menitikberatkan nilai hormat, tanggungjawab dan kesejahteraan bersama.
“Konsep ini tepat pada masanya kerana ia menuntut kerjasama semua pihak bagi memenuhi standard kebersihan negara,” katanya.

Gimik pelancaran bilik pameran Rigel di Petaling Jaya disempurnakan secara bersama oleh (dari kiri) Christopher, Mohd Fadzli, Tengku Khairul Adena, Shannen dan Brandon.
Bagi menghargai usaha itu, KPKT akan menganjurkan Anugerah Toilet of the Year (Anugerah Tandas Tahun Ini atau TOYA) 2025, yang bakal mengiktiraf pihak swasta dan PBT yang menonjol dalam melaksanakan konsep Tandas BMW terbaik.
Majlis TOYA 2025 dijadual berlangsung pada 19 November 2025 dengan penglibatan Regal Technology sebagai rakan strategik utama dalam promosi teknologi sanitari moden dan lestari.
Kor Ming berkata, penglibatan Regal sebagai rakan strategik TOYA membuktikan komitmen sektor swasta terhadap tanggungjawab sosial korporat dalam memupuk kesedaran kebersihan awam.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak syarikat tampil ke hadapan menyumbang kepakaran, teknologi serta sumber daya bagi bersama menjayakan aspirasi Tandas BMW.
“Kejayaan menjayakan aspirasi negara tidak akan dicapai oleh kerajaan semata-mata. Ia memerlukan sinergi sektor awam dan swasta, seperti yang ditunjukkan oleh Regal.
“Kejayaan dalam menjayakan aspirasi negara tidak dapat dicapai oleh kerajaan semata-mata. Ia memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta. Marilah kita sama-sama memainkan peranan,” katanya.

Bilik pameran serba lengkap yang dimiliki Rigel menawarkan penyelesaian bilik air mampan dan teknologi hijau.
Sementara itu, bilik pameran baharu Rigel Technology itu mempamerkan rangkaian produk sanitari dan teknologi bilik air pintar termasuk sistem Internet-of-Toilet (IoT) iaitu inovasi pengurusan tandas pintar yang mengoptimumkan kebersihan, kecekapan dan penggunaan tenaga melalui penderia automatik serta pemantauan data masa nyata.
Ditubuhkan pada 1991 dan beribu pejabat di Singapura, Rigel kini menjadi peneraju serantau dalam penyelesaian bilik air mampan dengan projek ternama di Malaysia, Singapura, Vietnam, Indonesia dan China.
Christopher berkata, pelancaran tersebut mencerminkan komitmen Rigel terhadap inovasi dan kehidupan pintar yang mampan.
“Kami beriltizam menetapkan piawaian baharu dalam rekaan dan teknologi sanitari, seiring usaha mencapai gaya hidup yang lebih pintar dan lestari,” katanya.
- KitaReporters