Dua barisan kedai di jalan utama di pekan Bagan Datuk.
MENJELANG Hari Raya Aidilfitri April 2023 ini, Jambatan Bagan Datuk, mercu tanda baharu bagi pekan Bagan Datuk, Perak, khasnya dan daerah Bagan Datuk amnya, akan mula dibuka untuk lalu lintas.
Setelah
tergendala hampir dua tahun, jambatan yang menghubungkan pekan kecil Bagan
Datuk dengan Sejagop, di daerah Perak Tengah ini dijangka digunakan sepenuhnya
sempena hari lebaran.
Jambatan ini
merentasi Sungai Perak sepanjang 1.5 kilometer, mengandungi laluan dua lorong
dua hala. Jalan tmenuju ke jambatan sepanjang 10.5 kilometer telah siap,
dilengkapi dengan sistem pembetungan dan saliran di sepanjang jalan utama.
Mula dibina pada 2016, jambatan ini menelan kos lebih RM400 juta. Pembinaan yang sepatutnya siap pada 2020 bagaimana pun tergendala disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lantaran bahana Covid-19.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan daerah Bagan Datuk
Ahmad Zahid Hamidi (kiri) melawat tapak pembinaan Jambatan Bagan Datuk pada 23 Januari 2023. - kredit foto: Bernama
Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melawat projek pembinaan tersebut pada Isnin, 23 Januari 2023 lalu menjelaskan, selain PKP juga timbul masalah
kenaikan kos bahan binaan selain masalah pekerja di tapak pembinaan.
Bagaimana pun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu optimis jambatan itu dapat digunakan oleh orang ramai paling lewat sehari atau dua hari sebelum Aidilfitri.
Sehingga ini 97% kerja-kerja pembinaan sudah siap, hanya tinggal kerja-kerja penyudah.
Pembukaan
jambatan ini dianggap hadiah hari raya untuk penduduk Bagan Datuk. Kehadirannya membolehkan perjalanan dari pekan itu ke
Sejagop, dapat dipendekkan, masa dijimatkan.
Pengguna tidak
perlu lagi mengambil jalan jauh merentasi pekan Hutan Melintang sebelum
memasuki jalan persekutuan Teluk Intan-Bagan Datuk, seterusnya memasuki jalan
ke Sitiawan.
Ini juga
bererti perjalanan ke Sitiawan, Manjung serta Pasir Salak lebih dekat. Ia
berhubung terus dengan laluan jalan pesisir pantai serta Lebuh Raya Pesisir
Pantai Barat (WCE), menjadikan laluan tersebut juga lebih dekat. Dari situ seterusnya
boleh meneruskan perjalanan ke utara tanah air dengan lebih pantas.
Begitu juga mereka yang datang dari arah utara boleh memendekkan masa perjalanan ke Bagan Datuk dengan melalui jambatan berkenaan, dan seterusnya ke Kuala Lumpur atau destinasi lain ke arah selatan.
Ketika ini
beberapa bahagian WCE telah siap dan digunakan. Apabila WCE siap sepenuhnya,
perjalanan dari Daerah Pasir Salak dan Bagan Datuk ke Kuala Lumpur dapat
dijimatkan dengan mengambil masa kira-kira satu jam setengah, berbanding tiga
jam sekarang. Begitu juga sebaliknya.
Pembinaan
Jambatan Bagan Datuk bukan sahaja memudah dan melancarkan perjalanan, tetapi juga
bakal mengubah sosioekonomi dan jaringan perhubungan di daerah Bagan Datuk.
Pekan kecil yang dikenali sebagai ‘pekan koboi’ itu kerana hanya ada dua
barisan rumah kedai di jalan utama, bakal menjadi lebih sibuk.
Dari aspek pendidikan, sehingga ini sudah wujud Sekolah Sains dan Maktab Rendah
Sains Mara (MRSM) di Bagan Datuk. Politeknik
Bagan Datuk kini sedang rancak dibina. Ia bakal menjadikan Bagan Datuk
destinasi pendidikan.
Dengan itu
juga, Bagan Datuk bakal menjadi lebih meriah, dibantu dengan kehadiran jambatan
yang menambah mudah pergerakan dari dan ke pekan itu dari pelbagai lokasi
negeri Perak dan utara serta negeri lain.
Tempias
daripada kehadiran jambatan ini ialah kesan janga panjang bagi pembangunan
sekitar. Ini termasuk usaha menarik pelabur luar negara yang tentunya menjadi
pemangkin pembangunan ekonomi serta membuka banyak peluang pekerjaan.
Justeru Jambatan Bagan Datuk adalah ibarat rahmat yang menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, seterusnya meningkatkan kedudukan pekan tersebut agar lebih rancak berbanding keadaannya yang dianggap sepi. - KitaReporters
Kredit foto-foto: FB Ahmad Zahid Hamidi