Politik & Negara 20 Dec, 2023

Video| Siapa sebenarnya pengganas? Hamas atau Israel? Jangan terpedaya pembohongan aparteid Zionis!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this





DALAM perkembangan mutakhir peperangan antara Israel dan Hamas, lebih 18,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan genosid aparteid Israel ke atas Gaza sejak Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, kebanyakan orang awam terdiri daripada kanak-kanak dan wanita. Kementerian Kesihatan Gaza juga memaklumkan seramai 49,500 mangsa mengalami kecederaan.

Namun, dengan jumlah korban besar rakyat Palestin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu masih terus menabur dakyah dan propaganda dengan melabelkan "Hamas ialah ISIS". 

Dakwaan itu pastinya tidak masuk akal, tidak logik dan satu pembohongan besar yang sengaja mahu menjadikan Hamas sebagai "kambing hitam" dan menghalalkan kerja kotor mereka.

Walaupun cerita merapu dan merepek, seperti biasa sekutu mereka, Amerika Syarikat nampak senada dengan Israel. Ini terbukti dengan kenyataan Setiausaha Pertahanannya, Lloyd Austin yang menganggap Hamas lebih teruk daripada ISIS ketika mengadakan lawatan singkat ke negara aparteid Zionis itu,baru-baru ini.

Negara Israellah yang seperti ISIS yang melakukan pengeboman dan pembunuhan tanpa perikemanusiaan.


Pengkaji mengenai pengganas di dunia Islam mengakui terkejut dengan kenyataan itu apatah lagi temu bual bersama ramai bekas pegawai tertinggi ISIS sendiri menolak dakwaan itu. Bagi mereka analogi itu adalah tidak benar, bohong!  

Hamas ialah akronim untuk Harakat al-Muqawamaal-Islamiyya (Gerakan Penentangan Islam), iaitu sebuah organisasi militan dan politik Palestin yang ditubuhkan pada 1987.

Manakala ISIS akronim untuk "Islamic State in Iraq and Syam", iaitu kumpulan militan jihad yang ditubuhkan pada 1999. 

Ia terkenal dengan taktik kejam termasuk pengeboman berani mati, hukuman mati beramai-ramai dan pemenggalan kepala serta ideologi ekstremis yang menyeru penubuhan negara Islam global ditadbir dengan tafsiran ketat undang-undang syariah.


Hubungan Briged Al-Qassam, sayap ketenteraanHamas sentiasa mesra dengan orang awam.


Bagi golongan propaganda Israel, apa yang dilakukan oleh Hamas ketika serangan 7 Oktober 2023, mereka menembak dan membunuh orang awam secara kejam. 

Tapi, dakwaan itu ditepis ramai pihak malah mereka menganggap Israel lebih teruk daripada ISIS kerana sanggup membunuh kanak-kanak, wanita dan merogol tahanan, menculik bayi dan golongan dewasa.

Apa yang dilakukan tentera negara aparteid itu melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa di samping melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.

Jika dibuat undian, 90 peratus akan mengatakan Hamas bukan ISIS kecuali mereka yang proaparteid Israel. 

Malah, salah satu kumpulan Salafi yang menyokong ISIS mengakui, "Hamas dan ISIS berada dalam dua dunia yang berbeza, ibarat langit dan bumi.".

Dari aspek sokongan antarabangsa, kedua-dua pertubuhan mendapat sokongan daripada segmen tertentu penduduk Islam, tetapi tahap sokongan antarabangsa mereka berbeza dengan ketara.

Negara aparteid Israel lebih teruk dari ISIS kerana sentiasa menyasarkan untuk membunuh kanak-kanak dan wanita.


Majoriti sokongan terhadap Hamas datang dari negara Arab dan Islam serta beberapa komuniti diaspora Palestin termasuk negara benua Afrika, manakala majoriti dunia menyenaraikan ISIS sebagai kumpulan pengganas. 

Malaysia sendiri mengeluarkan fatwa bahawa sebarang sokongan terhadap kelompok ISIS adalah bercanggah dengan syariah Islam.

Dunia sudah mengetahui matlamat Hamas, iaitu sebuah pertubuhan yang diasaskan untuk membebaskan bumi Palestin yang dirampas dan dijajah Zionis Yahudi. Tapi, ISIS adalah pertubuhan yang dicipta oleh badan perisikan Barat bagi menghalalkan pendudukan mereka di dunia Islam khususnya Timur Tengah demi keselamatan negara haram Israel.

Ia diakui sendiri bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Malah, Robert F. Kennedy Jr., anak saudara bekas Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy yang juga calon tunggal yang bertanding atas tiket bebas dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat menegaskan, “We created ISIS”.


Hamas ialah pertubuhan berkaitan agama yang setia kepada semangat persaudaraan Islam. Dan, pertubuhan itu mahu membuktikan kepada dunia apa yang mereka lakukan mengikut undang-undang antarabangsa kerana Palestin adalah negara mereka sebelum didatangi pendatang Yahudi. 

Hamas juga mahukan pengiktirafan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Palestin adalah sebuah negara merdeka.

ISIS pula mempunyai matlamat berbeza. Mereka kononnya mahu mengembalikan dunia ke zaman Khalifah Islam. Mereka bukan mewakili sesiapa pun tapi menganggap diri mereka orang Islam yang berjuang untuk menubuhkan negara Islam. 

Mereka melakukan kekerasan bagi sesiapa yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka. Iraq dan Syria dijadikan markas untuk memastikan matlamat mereka berjaya.

Hamas adalah sebuah pertubuhan yang sangat berdisiplin, baik adab dan hukum syarak. Mereka hanya menyasarkan anggota pertahanan Zionis dan mana-mana pihak yang bekerjasama dengan mereka. 

Berbeza dengan ISIS yang menyasarkan orang awam dan kebanyakan mangsanya adalah orang Islam. Malah, ISIS turut menyasarkan masjid dan majlis keraian Islam tanpa mengira wanita atau kanak-kanak.

Hamas sanggup turun dalam pilihan raya untuk bertanding bagi menentukan pilihan rakyat Palestin. Ternyata mereka berjaya memikat penduduk tempatan apabila menang dalam pilihan raya Palestin dengan 44 peratus undi di Gaza. 

Tapi, kemenangan mereka diragut oleh Barat khususnya Amerika Syarikat atas alasan yang tidak masuk akal. 

Bagi ISIS, mereka tidak pernah terbabit dalam sebarang pilihan raya sebaliknya memaksa rakyat tempatan menyokong mereka secara paksa. 

Mereka kononnya melaksanakan hukum syariah mengikut al-Quran dan Sunah tapi realitinya ramai rakyat menderita, disembelih atau dibunuh secara kejam jika menentang mereka. 


Pertukaran tahanan ketika gencatan senjata, baru-baru ini membuktikan Hamas sentiasa melayan musuh dengan baik dan beradab.


Hamas dan ISIS juga berbeza dari aspek toleransi. 

ISIS tidak pernah ada perjanjian damai dalam kamus mereka. Hukum mereka ialah semua pihak perlu mengikut telunjuk mereka. Justeru, mereka tidak pernah mendapat sokongan negara-negara Islam lain kerana apa yang merek alakukan terkeluar daripada Islam.

Berbanding Hamas, mereka sentiasa terbuka untuk perdamaian walaupun sedar kadangkala merugikan. 

Apa yang mereka lakukan pada 7Oktober 2023 hanya tindakan yang tidak dapat dielakkan selepas terlalu lama bersabar dengan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel yang menindas dan sering memungkiri janji.

Hamas tidak pernah menyeksa atau melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan mereka. Tahanan dilayan dengan baik mengikut ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ini terbukti ketika gencatan senjata, baru-baru ini ramai tahanan Israel melahirkan rasa terharu atas layanan baik Hamas.

Tapi, berbeza dengan ISIS, mereka seperti Israel yang menangkap dan menyeksa setiap tahanan sehingga ada yang ditahan bertahun-tahun mengalami masalah mental dan kecacatan seumur hidup. 

Menjadi tahanan dan tinggal di penjara Israel dan ISIS seperti duduk dalam neraka dunia.  

Kesimpulannnya, tindakan menyamakan Hamas dan ISIS adalah propaganda kotor untuk memburukkan imej pertubuhan rakyat Palestin itu kerana rejim aparteid Zionis Israel sedar hanya dengan membuat dakwaan seumpama itu dunia akan menjauhkan diri daripada mereka. 

Namun, sebaliknya, semakin banyak negara termasuk yang dulunya menentang Palestin kini membuat pusingan-U dan menyokong mereka.

Malah, dunia kini membuka mata untuk melihat kekejaman rejim aparteid Zionis Israel dan ISIS, adalah sama kejamnya. 

Mereka membunuh dan menyeksai orang awam tanpa mengira kanak-kanak atau wanita selain melanggar undang-undang antarabangsa. Kedua-duanya sama teruk, zalim, ganas dan tidakberperikemanusiaan. - KitaReporters/Quds News Network


Pejuang Hamas sentiasa mengamalkan ajaran al-Quran dan Sunah.

14
11
0
9
0
You will be interested