Tonton di Youtube KitaReporters di https://youtu.be/ecp4z7vx8ro?si=bWTQcYpCUKhVWnXg (mungkin disekat kerana imej pengeboman)
EPISOD peperangan Israel-Palestin di Gaza semakin mencabar dan
keadaan menjadi semakin huru-hara dan memburuk apabila bilangan yang mati syahid semakin bertambah.
Sehingga 12 Oktober 2023, bilangan rakyat Gaza yang syahid meningkat kepada 1,100 termasuk 326 kanak-kanak dalam tempoh lima hari pengeboman Zionis di wilayah yang dikepung.
Manakala 5,339 telah cedera, dengan berpuluh-puluh rakyat Palestin kehilangan nyawa mereka dalam serangan baharu sejak beberapa jam lalu.
Keadaan berkenaa menimbulkan kebimbangan semua negara Islam yang prihatin dengan nasib penduduk di Gaza yang berdepan saat getir, pada saat ini.
Malaysia sendiri mengambil langkah bertanggungjawab menerusi Wisma Putra yang sedang menyelaras proses evakuasi bagi membawa pulang seorang doktor rakyat Malaysia bersama empat ahli keluarganya yang kini berada di Semenanjung Gaza di Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan itu sedang dilakukan dengan dengan kerjasama daripada Kedutaan Filipina di sana (Palestin).
"Sehingga kini, ada lima rakyat Malaysia berada dalam laporan kita termasuk seorang ibu dengan tiga anak yang memegang pasport Malaysia yang dilaporkan berada dalam kawasan konflik.
"Kedutaan besar Malaysia buat masa ini berjaya menghubungi doktor berkenaan, Dr Nurul Ain Latif yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang berkahwin dengan warga Palestin.
"Keadaan Dr Nurul Ain berada di tempat selamat. Kita juga sedang berusaha melakukan proses evakuasi untuk Dr Nurul Ain,” katanya.
Malah Wisma Putra kini sedang mendapat kerjasama kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama lapan warga Indonesia yang berada di kawasan itu.
Penerangan berkenaan dibuat di Parlimen pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada 12 Oktober 2023.
Semoga Dr Nurul Aini Berjaya dikeluarkan segera daripada wilayah bergolak dan kembali ke tanah air dengan selamat. - KitaReporters