PERMINTAAN Ketua Majlis Presiden Libya, Mohamed Menfi, yang memohon bantuan antarabangsa selepas banjir besar melanda negaranya sehingga meragut ribuan nyawa mendapat maklum balas segera daripada negara luar.
Terbaharu, Qatar menghantar empat pesawat untuk mangsa banjir di timur Libya dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Benina di Benghazi pada Jumaat, 15 September 2023.
Memetik agensi berita Qatar, sebanyak 121 tan bantuan kemanusiaan dihantar menggunakan dua pesawat manakala pesawat ketiga dan keempat pula masing-masing membawa 54 tan lagi sebagai tindak balas kecemasan terhadap situasi kemanusiaan yang melanda negara itu.
Pesawat itu dimuatkan dengan makanan, bahan bantuan dan peralatan perubatan yang disediakan oleh Jawatankuasa Tetap bagi Menyelamat, Bantuan dan Bantuan Kemanusiaan.
Selepas Mohamed Menfi, mengisytiharkan bandar Derna, Shahat dan zon bencana Al-Bayda, beberapa negara Arab dan Turkiye menawarkan bantuan dan mengerahkan pasukan penyelamat untuk membantu mangsa yang terselamat dan mencari orang yang hilang.
Malah sehingga kini, 5,000 rumah dilaporkan rosak akibat banjir dahsyat selepas dua empangan tebatan banjir pecah yang disebabkan oleh taufan Daniel.
Bencana itu juga mengakibatkan rangkaian air runtuh sehingga menyebabkan bekalan air minumam terputus di beberapa kawasan.
Pihak Berkuasa Projek Perumahan dan Utiliti memaklumkan, beberapa wilayah memerlukan penyelenggaraan dan pembinaan semula kira-kira 35 kilometer jalan yang rosak, dan 20km saluran saliran air hujan utama. - KitaReporters