
Seorang ulama terkenal dari Kelantan berpendapat, Malaysia perlukan kerajaan yang stabil dan boleh bertahan bagi mengelakkan kesan kepada perkembangan Islam, khususnya masa depan sekolah pondok, dan pembangunan ekonomi.
Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah berharap Kerajaan Madani di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dikekalkan.
Beliau menjelaskan, perubahan kerajaan yang terlalu kerap boleh menjejaskan kehidupan rakyat termasuk perkembangan sekolah pondok terbantut dan menyebabkan ekonomi menjadi malap.
“Kita di Malaysia ini lima tahun satu kerajaan, (ada juga) dua atau setahun satu kerajaan.
“Dasar berubah menyebabkan pondok pun lemah dan malap. Ekonomi malap. Ini bukan cara Islam,” katanya dalam ceramah pada Program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Putrajaya pada 19 Julai 2025.

Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah
Wazi yang juga penasihat Kesatuan Pondok Kelantan berkata, kehadiran ramai dalam program keagamaan itu menunjukkan sokongan sepenuhnya kepada pimpinan Anwar yang mengetuai kerajaan perpaduan sejak penghujung 2022.
“Insya-Allah semua rintangan dan cabaran di negara ini dapat diselamatkan. Kerajaan pimpinan Datuk Seri (Anwar) dapat diselamatkan,” katanya lagi.

Sementara itu, Anwar yang baru tiba dari Pulau Pinang mengikuti acara Malaysia Bermunajat 2025 dan seterusnya meluncurkan Halaqah Ilmu Madani di Masjid Putra, Putrajaya.
Beliau berkata, sumbangan ulama nusantara yang kembali dari Mekah, pulang dengan roh Islam ke tanah air membuka pesantren atau pondok dan kemudian menjadi benteng dan pertahanan akidah umat dalam membakar semangat perjuangan kemerdekaan.
"Tiada perubahan tanpa kefahaman dan kekuatan Ilmu. Apatah lagi hanya bergantung kepada semangat menghina dan merosakkan keamanan.
"Oleh itu, negara Madani adalah negara yang memacu kemajuan namun tetap pada pangkalannya itu asas kekuatan agama, nilai dan akhlak," jelas Perdana Menteri.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, peranan ulama kritikal penting dalam memberi pencerahan dan kefahaman umat untuk melakukan pembaharuan.

"Saya juga bersyukur pada malam ini dapat bersama Sahibul Fadilah Maulana Tariq Jamil, pendakwah dari Pakistan serta para ulama, tuan guru pondok dan madrasah yang telah menghadiri Muzakarah Umara dan Ulama Pondok Kebangsaan (UMRAN) di Putrajaya hari ini (19 Julai 2025).
"Saya ingin zahirkan ucapan penghargaan kepada para ulama dan hadirin atas doa yang diketuai oleh Baba Abdul Rahman Abdul Kadir, Madrasah Irfan Al Islamiah dan ucapan serta harapan Syeikh Wazir Che Awang mengenai masa depan Malaysia," katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media