Keadaan Hospital Nasser di Khan Younis yang musnah teruk akibat dibom tentera israel menyebabkan tiada infrastruktur yang sempurna lagi di wilayah terkepung itu. - Krediot foto: Anadolu
Tentera aparteid Israel terus mengganas dan terkini kumpulan itu menyerbu Hospital Nasser di Khan Younis, sebuah pusat perubatan terbesar yang masih berfungsi di Gaza.
Memetik portal middleeastmonitor.co, pengepungan secara menyeluruh dan besar-besaran ke atas hospital berkenaan menyebabkan ribuan rakyat Gaza yang berada dalam kompleks berkenaan berisiko dengan kematian.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, Ashraf al-Qudra berkata, terdapat 300 kakitangan perubatan, 450 cedera dan 10,000 orang kehilangan tempat tinggal yang berada dalam Kompleks Perubatan Nasser berkemungkinan terbunuh.
Petugas hospital bertungkus lumus memberi rawatan kepada pesakit dalam keadaan bekalan ubat yang semakin berkurangan termsuk ubat bius yang habis. - Kredit foto: AFP
“Hospital yang dikepung mengalami kekurangan ubat bius dan rawatan rapi serta bekalan pembedahan. Mereka yang tinggal juga dalam keadaan trauma dan kelaparan,” katanya.
Tambah Ashraf, kakitangan dan pesakit juga kini berada dalam keadaan bahaya di Hospital al-Amal di Khan Younis.
“Tembakan artileri yang sangat dekat ke Hospital PRCS Al-Amal, dengan serpihan-serpihan mengenai bangunan hospital di tengah-tengah tembakan berat yang berterusan, menimbulkan bahaya kepada keselamatan kakitangan dan pesakit,” katanya lagi.
Seorang remaja memangku adiknya yang baru dilahir dan terpaksa berlindung di tepi hospital bagi memastikan mereka selamat. - Kredit foto: Reuters
PRCS yang mengendalikan kemudahan itu turut memaklumkan, kakitangannya sengaja disasarkan oleh tentera Israel ketika mereka menjalankan misi untuk memindahkan sejumlah orang yang cedera di kawasan yang dikepung pada Rabu, 7 Disember 2024 lalu .
Lebih menyedihkan apabila dilaporkan paramedik, Mohammed al-Omari terbunuh akibat serangan itu dan dua rakan sekerjanya cedera.
“Ini menjadikan jumlah rakan sekerja yang terbunuh ketika menjalankan kerja kemanusiaan mereka sejak permulaan perang ke atas Gaza kepada 12,” kata PRCS.
Selepas lebih 100 serangan berterusan sejak 7 Oktober 2023 lalu, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan sekurang-kurangnya 27,840 rakyat Palestin telah terbunuh.
Selain itu, lebih 67,317 telah cedera akibat serangan Israel di wilayah yang disekat ini. - KitaReporters
Meskipun sentiasa menjadi sasaran kepada tentera Israel penduduk Gaza tetap utuh dan menunaikan solat secara berjemaah di kawasan hospital yang menjadi tumpuan serangan tentera aparteid Israel. - Kredit foto: Reuters