Politik & Negara 07 Aug, 2023

Ekonomi Madani: Dasar Gaji Progresif pulihkan gaji pekerja! Meningkat lebih konsisten, seimbang! - PM

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Kenyataan Media Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Ogos 2023.

"Dasar gaji progresif akan menyokong anjakan reformasi pasaran pekerja"


Gagasan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat merupakan wadah yang menetapkan hala tuju negara dalam tempoh sederhana terutama untuk meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia. 

Pada masa yang sama, berikutan peratusan pendapatan pekerja Malaysia (wage share ratio) telah menurun dari 37.2% pada 2020 kepada 32.4% pada 2022, Kerajaan menetapkan sasaran nisbah ini agar meningkat kepada 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan lagi. 

Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lepas, lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. 

Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20-24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan. 

Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40-49 tahun sepanjang kerjaya mereka. 



Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji Progresif (progressive wage policy) sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang. 

Dasar gaji progresif ini adalah bersifat sukarela (voluntary), berteraskan insentif (incentive-based), dan terkait dengan produktiviti (productivity-linked). 

Model dasar ini diusulkan setelah MTEN mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja. 

Dasar ini, yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum, akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan, dan peringkat. 

Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62% pekerja dan 80% syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan, dan MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin. 

Langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutama para pemain industri, perniagaan dan pekerja. 

Perkara ini akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat-peringkat dan meneroka keperluan untuk memperuntuk dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan dan keperluan dasar. 

MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara.


11
14
0
17
0
You will be interested