Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM11.4 juta bagi menjayakan projek pembinaan semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah.
Katanya, selain itu, terdapat tambahan sumbangan RM4.5 juta daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan RM3 juta daripada kariah serta masyarakat setempat.
"Saya turut sampaikan sumbangan kepada Surau Haji Yahya Sungai Sintok, Masjid Jamek Jarak Atas dan Masjid Jamek Permatang Janggus sebagai sokongan terhadap pembangunan dan usaha mengimarah rumah Allah," kata Anwar lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Pulau Pinang, selepas berakhir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok.
"Saya terus ke Pulau Pinang untuk beberapa perencanaan yang bermula di kampung halaman saya. Alhamdulillah, terubat rindu pada sanak saudara dan keluarga besar penduduk Kampung Cherok Tok Kun.
"Saya luncurkan pembinaan semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah yang mempunyai sisi nostalgia terhadap diri dan keluarga.
"Dengan matlamat suci untuk mengimarahkan masjid, pembinaan semula ini dapat menampung jumlah jemaah yang lebih besar mencecah 1,600 orang pada satu-satu masa," katanya.
Insya-Allah, beliau memberitahu, masjid itu akan turut dilengkapi dengan kemudahan komuniti yang lebih sempurna untuk manfaat dan kebaikan anak kariah dan orang ramai yang singgah untuk beribadah.
Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar menghimbau nostalgia tatkala membesar di Kampung Cherok Tok Kun dan Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah ini yang telah banyak menyumbang pada pembentukan ilmu, akhlak dan peribadi.
"Di masjid ini juga saya dilatih menyampaikan khutbah dan di sini juga saya mengenal erti perjuangan dan khidmat bakti pada masyarakat.
"Keluarga besar Cherok Tok Kun sentiasa dekat di hati saya. Mereka bukan sahaja ada sewaktu senang, bahkan turut setia bersama tatkala saya terpuruk, dihina, dikeji dan dipukul setengah mati. Jasa dan pengorbanan kalian sentiasa terpahat dalam ingatan," jelas Perdana Menteri.
Sebelum pulang, Anwar sempat menziarahi kubur almarhum datuknya, serta singgah ke kediaman keluarga untuk bertemu abang dan adik serta sanak saudara.
"Saya mendoakan semoga warga Cherok Tok Kun terus hebat dan menjadi contoh terbaik masyarakat asbab keindahan akhlak, keperibadian serta kehidupan bermasyarakat kita, Insya-Allah," doanya. - KitaReporters/Kenyataan Media