Politik & Negara 10 Oct, 2019

PRK TANJUNG PIAI: MAI-MAI KITA TENGOK, SIAPA YANG KENA?

@luqman haziq abdullah
Bekas Ketua Biro Utusan Malaysia Johor

Share this
WALAUPUN belum dimuktamadkan parti dan calon yang akan bertanding, namun beberapa nama hangat diperkatakan akan dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 November depan.

Bagi MCA, kemungkinan besar Datuk Wee Jeck Seng akan terus diberi kepercayaan untuk merampas semula kawasan tersebut.

Beliau yang tewas kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Allahyarham Datuk Dr. Farid Md. Rafik, 43, dengan majoriti tipis 524 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bukan asing bagi masyarakat Tanjung Piai kerana telah menabur bakti sebagai ahli parlimen kawasan berkenaan sejak beberapa penggal.

Namun, 'gelombang rakyat' pada PRU14 lalu turut memberi impak terhadap tahap sokongan pengundi walaupun khidmat bakti Jeck Seng amat disenangi dan dihargai masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan.

Sekiranya MCA bersetuju untuk memberi laluan kepada UMNO bertanding pada PRK itu nanti, nama Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut disebut-sebut akan dicalonkan.

Jefridin juga bukan asing di Tanjung Piai kerana telah menerajui UMNO bahagian tersebut sejak beberapa penggal.

Pelbagai program dilaksanakan UMNO bagi mendekati dan membantu masyarakat di kawasan tersebut dan pastinya pengundi, khusus orang Melayu tidak akan melupakan jasa UMNO di situ.

Selain Jefridin, ada suara-suara supaya UMNO mencalonkan Mohamed Khaled bagi mendepani calon Bersatu pada PRK itu nanti.

Walaupun bukan ahli UMNO di Tanjung Piai, namun kewibawaan Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO tidak perlu dipertikaikan semasa memimpin negeri ini.

Biarpun hanya sepenggal mewarisi pemerintahan BN di Johor, namun pembangunan dan kemajuan yang dibawa beliau menerusi slogan 'Muafakat Johor' amat mengagumkan.

Pelaburan asing dan tempatan mencurah masuk kerana Johor mempunyai potensi amat besar, apatah lagi berjiran dengan Singapura yang sedia maju.

Namun, di kem pembangkang, UMNO dan MCA masih berbincang siapakah yang paling sesuai mendepani calon  Bersatu.

MCA mahu supaya kerusi tradisi milik parti itu dikekalkan, namun pada masa yang sama UMNO turut berhajat bertanding pada PRK berkenaan.

UMNO yakin bahawa hampir 53,000 pengundi berdaftar di kawasan berkenaan yang terdiri daripada 57 peratus Melayu pasti memberikan sokongan padu kepadanya.

Malah, tahap sokongan itu didakwa semakin meningkat selepas UMNO dan Pas menandatangani Piagam Penyatuan Ummah, sekali gus mencetuskan aspirasi politik baharu, Muafakat Nasional, baru-baru ini.

Berdasarkan majoriti 524 undi yang diperoleh Dr. Mohamed Farid Md. Rafik, andai digabung undi diraih Jeck Seng dan Nordin Othman daripada Pas pada PRU14 lalu, nyata BN mampu merampas semula kerusi tersebut.

Namun, wujud juga gesaan supaya calon MCA terus diberi kepercayaan untuk merampas semula kerusi tersebut bagi membuktikan kekal wujudkan persefahaman dan semangat setia kawan  dalam BN pasca-Piagam Penyatuan Ummah.

Andai salah seorang daripada tiga figura ini dipilih sebagai 'ayam sabung' BN, pastinya Bersatu dan PH perlu bekerja lebih kuat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Keputusan PRK Tanjung Piai pada 16 November nanti pasti menjadi cerminan tahap sokongan rakyat, sama ada kekal memberi kepercayaan kepada PH atau sudah kembali menaruh harapan terhadap BN.

0
0
0
0
0
You will be interested