Politik & Negara 26 Mar, 2024

Gencatan senjata serta-merta di Gaza dialu-alukan! Tapi kenapa sementara? Tempoh Ramadan sahaja?

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Kami menyatakan sokongan penuh kepada resolusi gencatan senjata serta-merta di Gaza yang diterima pakai oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada 25 Mac 2024. 

Kami bagaimanapun kesal kerana gencatan senjata hanya dalam tempoh Ramadan. Ini tidak dapat menjamin Israel tidak akan meneruskan serangan ketenteraannya. 

Keamanan muktamad adalah prinsip asas yang sepatutnya diterima pakai. 

Walaupun menghormati bulan suci Ramadan telah dipertimbangkan, kami tidak dapat memahami mengapa pencerobohan Israel yang jelas kejam dihentikan sementara dan dihadkan hanya untuk Ramadan. 

Walaupun ini boleh dilihat sebagai keputusan ke arah yang positif, kami berpendirian bahawa Gaza mesti mendapat jaminan ia akan dilindungi daripada sebarang serangan tentera pada masa hadapan. 

Lebih 6 bulan keganasan Israel mengakibatkan hampir kemusnahan seluruh Gaza dan dengan itu PBB tidak boleh mengadakan gencatan senjata sementara sahaja.

Kami menggesa penguatkuasaan segera tanpa sebarang kelewatan. Pasukan penjaga keamanan mesti dihantar untuk memastikan gencatan senjata berkekalan. 

Sebarang kelewatan untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya akan menjadikan resolusi itu sia-sia. 



Kami menggesa agar pembukaan lintasan Rafah untuk semua bekalan bantuan kemanusiaan dibenarkan tanpa halangan. 

Mesir harus bekerjasama dengan semua agensi kemanusiaan untuk memastikan kelancaran pergerakan barang bantuan kemanusiaan ke Gaza. 

Israel tidak boleh dibenarkan untuk campur tangan dalam penghantaran bantuan ke Gaza melalui satu-satunya pintu yang tinggal iaitu Rafah. 

Kami juga menekankan bahawa semua tentera anggota Israel mesti segera berundur dari Gaza tanpa syarat manakala tebusan harus dibebaskan di kedua-dua pihak melalui proses yang dipersetujui untuk pertukaran tawanan oleh Hamas dan Israel. 

Kami mendesak pembebasan lebih 7,000 rakyat Palestin di Tebing Barat. Keganasan, pembunuhan dan penculikan rakyat Palestin oleh tentera pendudukan Israel di Tebing Barat mesti dihentikan. 

Resolusi ini telah dinanti-nantikan oleh masyarakat antarabangsa kerana Gaza berada di ambang kehancuran menyeluruh dan besar-besaran bagi setiap aspek kehidupan di kawasan yang terkepung itu. 

Berdasarkan undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan adalah jelas Israel telah melanggar semua peruntukan yang telah mengakibatkan keadaan musibah kemanusian di Gaza semakin parah. 



Kami kesal kerana perkataan secara khusus untuk gencatan senjata yang kekal tidak dimasukkan kerana ini akan memastikan keselamatan Gaza dan sebarang pencerobohan masa depan oleh Israel akan disekat. 

Kami mempersoal ketiadaan pernyataan dalam teks resolusi itu untuk menekankan bahawa gencatan senjata kekal adalah penting untuk keamanan yang berterusan. 

Undian itu, yang menyaksikan penangguhan pada saat-saat akhir mengenai kata-kata yang dipilih  itu menyebabkan 14 ahli mengundi menyokong, dengan AS berkecuali. 

Kami mengecam penolakan daripada AS, mencerminkan bahawa ia tidak komited untuk menuntut hak rakyat Palestin untuk kebebasan dan keadilan. Ketaksubannya untuk mengutuk Hamas hanyalah hujahnya untuk menolak menyokong pandangan 10 ahli Majlis itu yang menaja resolusi tersebut.

Kami menolak pendirian AS kerana hak Hamas mempertahan Gaza yang sah mesti diiktiraf.

Sekatan ke atas Gaza tidak boleh berpanjangan dan UNSC kini mesti bergerak ke arah menamatkan kepungan yang menjadi isu utama yang dituntut oleh masyarakat antarabangsa. 


Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)



11
8
0
15
0
You will be interested