Politik & Negara 02 Oct, 2025

Bebaskan rakyat Malaysia segera! Kita akan tuntut pertanggungjawaban! Kita tak akan bungkam! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

"Bebaskan mereka segera! Jangan bertindak kejam dan zalim kepada aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa.




"Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban rejim Zionis, khususnya apabila warganegara kita terlibat.

"Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli." tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini, 2 Oktober 2025.



Laporan terkini daripada Global Sumud Flotilla (GSF atau Flotila Sumud Global) 2025 menyebut kira-kira 15 rakyat Malaysia telah ditahan oleh tentera regim aparteid Zionis Israel dalam perairan Palestin, berhampiran pantai Gaza.

Mereka yang menyertai di bawah kesatuan Sumud Nusantara, ditahan dalam satu cubaan berani untuk memecahkan sekatan yang dikenakan oleh Zionis terhadap Gaza yang kini berdepan dengan jenazah genosid dan malapetaka kebuluran.

Menurut Anwar, beliau menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia bahawa rejim Zionis Israel memintas konvoi GSF 2025. 

"Lantaran, saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera! 

"Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza. 

"Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan," tambahnya.



Kata beliau, dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel. 

"Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. 

"Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka (rakyat Palestin) yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan," jelas beliau.

Perdana Menteri menegaskan, Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat. 



"Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli.

"Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan," tegas beliau lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
10
0
7
0
You will be interested