Politik & Negara 30 Jul, 2025

Buah Fikiran| Apabila mulut, pena celupar dalam berpolitik! Usaha damai dihina, sensitiviti dibakar!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Pada saat dunia semakin bergolak dengan peperangan, krisis kemanusiaan, dan ketidakstabilan geopolitik, sebarang usaha untuk mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah sepatutnya disambut dengan sokongan dan keinsafan. Malangnya, realiti politik semasa di Malaysia memperlihat segelintir pihak yang mempermain segala usaha murni semata-mata demi kepentingan politik sempit dan ketaksuban kuasa. - KitaReporters



Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)


Pada saat dunia semakin bergolak dengan peperangan, krisis kemanusiaan, dan ketidakstabilan geopolitik, sebarang usaha untuk mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah sepatutnya disambut dengan sokongan dan keinsafan, bukan cercaan atau sinisme. 

Malangnya, realiti politik semasa di Malaysia memperlihat satu kecenderungan segelintir pihak yang mempermain segala usaha murni semata-mata demi kepentingan politik sempit dan ketaksuban kuasa.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam mendamaikan konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja, sebuah usaha yang berteraskan semangat ASEAN, diplomasi hikmah, dan prinsip islah baina al-nas seperti yang ditekankan dalam Islam:

> "لا خير في كثير من نجواهم إلا من أمر بصدقة أو معروف أو إصلاح بين الناس"

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali orang yang menyuruh kepada sedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan antara manusia.” (Surah An-Nisa', 4:114)

Namun, usaha murni ini telah menjadi sasaran sindiran, kutukan, dan penghinaan dalam bentuk penulisan politik dan karikatur yang tidak bertanggungjawab. 

Ada yang menggambarkan Perdana Menteri sebagai 'mencari publisiti', bahkan ada yang mengolok-olok inisiatif itu seolah-olah Malaysia mencampuri urusan negara lain secara tidak sah. 

Karikatur yang bersifat menghina dan meremehkan seperti itu tidak hanya mencerminkan kejahilan terhadap keperluan diplomasi damai, tetapi juga mencetuskan kebencian, merendahkan martabat pemimpin negara, dan menyemai sikap tidak bertamadun dalam masyarakat.



Menghina Usaha Damai Adalah Menghina Nilai Kemanusiaan

Perdamaian bukanlah satu usaha yang murah atau picisan. Ia menuntut kesabaran, keikhlasan, strategi, dan terutama sekali ketulusan niat untuk melihat nyawa manusia diselamatkan dan wilayah yang bergolak kembali stabil. 

Dalam konteks ASEAN, konflik antara Thailand dan Kemboja bukan sekadar isu bilateral, tetapi berkaitan dengan keselamatan serantau. 

Usaha Malaysia dalam mendorong dialog dan gencatan senjata adalah bertepatan dengan aspirasi piagam ASEAN dan tanggungjawab moral sebagai jiran serantau.

Sebaliknya, apabila ahli politik atau pengulas awam memilih untuk memperlekeh usaha damai ini, ia memperlihat kegagalan mereka memahami realiti diplomasi dan peri pentingnya adab dalam menzahirkan pandangan. 

Politik celupar yang menolak etika hanya akan menjadikan masyarakat lebih kasar, marah dan memusuhi antara satu sama lain.

Adab dan Hikmah dalam Wacana Awam

Dalam masyarakat madani yang berteraskan nilai ketimuran dan Islam, adab dalam menyuarakan perbezaan pendapat adalah asas kepada kelangsungan hidup bersama. 

Adab bukan sekadar hiasan peribadi, tetapi merupakan disiplin sosial yang mengelakkan kekacauan, mengekalkan maruah insan, dan mendidik masyarakat supaya berfikir sebelum berbicara.

Menyerang secara sinikal terhadap pemimpin yang mengusahakan perdamaian adalah bentuk kebiadaban yang boleh memecahbelahkan masyarakat. 

Lebih parah lagi apabila karikatur atau sindiran tersebut turut membawa elemen perkauman, penghinaan peribadi, atau memperlekehkan elemen diplomasi -- ini hanya akan memperluas jurang perpecahan rakyat dengan kerajaan dan antara bangsa dengan bangsa.



Tanggungjawab Media dan Penulis

Media dan penulis bebas berperanan sebagai pengimbang kuasa, namun mereka juga memikul tanggungjawab moral dan sosial. 

Kebebasan tidak boleh dijadikan lesen untuk menghina, memecah belah atau merosakkan reputasi atas dasar politik. 

Dalam kes ini, segala bentuk karikatur dan penulisan yang menghina usaha perdamaian serantau perlu ditegur dan dibendung agar tidak menghasut ketegangan serantau mahupun domestik.

Kesimpulan

Kita harus berhenti menyemai budaya politik kebencian. Setiap usaha perdamaian mesti didukung, bukan dijadikan bahan gurauan politik. 

Sekiranya kita mahu Malaysia terus dihormati sebagai negara berdaulat dan berjiwa besar di pentas antarabangsa, kita perlu mengangkat nilai islah dan menolak politik celupar yang mencemarkan adab dan keharmonian masyarakat.

Daripada mempersenda perdamaian, lebih baik kita berganding bahu memperkukuh suara Malaysia dalam memperjuangkan keamanan – sama ada di sempadan ASEAN atau di bumi Palestin.


Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Artikel ini adalah pandangan penulis.


12
8
0
11
0
You will be interested