Politik & Negara 16 Sep, 2025

Video| Kena berani! Tamatkan hubungan diplomatik, perdagangan! Bagi hentikan kezaliman Israel! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas dan keras terhadap Israel dengan menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis itu  sehingga kekejaman dihentikan dan hak Palestin dipulihkan.




Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kecaman demi kecaman semata-mata tidak lagi memadai. 

"Kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket dan peluru berpandu. Dunia mesti bertindak dengan langkah yang nyata dan berani.

"Ini termasuklah menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis Israel sehingga kekejaman dihentikan dan hak Palestin dipulihkan," tegas beliau.

Perdana Menteri menegaskan demikian bagi membawa Kenyataan Negara terhadap isu Israel- Palestin ketika menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam, di Doha pada Selasa, 15 September 2025.



Pada 9 September 2025, Israel telah melancarkan serangan udara yang menyasarkan kepimpinan Hamas di Qatar, ketika mereka bertemu untuk membincangkan cadangan gencatan senjata aktif yang dibentangkan oleh Amerika Syarikat. 

Serangan itu, yang berlaku di daerah Leqtaifiya di ibu negara Qatar, Doha, merupakan serangan pertama Israel yang diketahui terhadap negara Teluk itu, dan serangan langsung pertamanya ke atas ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

"Alhamdulillah kerajaan dapat membawa suara Malaysia dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam. Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha. 

"Ia bukan sahaja satu pencabulan kedaulatan Qatar, malah satu tindakan rakus dan biadab yang melanggar tatanan undang-undang antarabangsa, serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keselamatan rantau," jelasnya.



Menurut Anwar, Qatar, di bawah kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, telah memainkan peranan besar sebagai perantara perdamaian. 

"Menyerang Doha bererti merobek usaha mulia tersebut, dan ia mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua, seluruh dunia Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa yang mendambakan keamanan," ujar beliau.

Pada masa sama, katanya, Gaza terus ditenggelami darah dan runtuhan. Kediaman dimusnahkan, hospital dibedil, anak-anak tidak berdosa menjadi mangsa korban. 

"Israel kini tidak lagi menyembunyikan niatnya, menolak kewujudan negara Palestin, mengisytiharkan satu bentuk aparteid kekal, serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri." tambahnya lagi. 



Kerana itu, katanya, Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin, dan setiap bangsa yang dambakan keadilan serta keamanan. "Inilah saatnya untuk kita bukan sahaja bersuara, tetapi bertindak. 

"Semoga Allah SWT mengurniakan keberanian untuk kita melawan kezaliman, serta kekuatan untuk mempertahan kebenaran dan maruah umat," kata Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media

9
15
0
11
0
You will be interested