Politik & Negara 30 Jul, 2025

Akhirnya selesai! Capai penyelesaian isu sempadan maritim, darat! Tertangguh selama 45 tahun! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Akhirnya, Malaysia dan Indonesia berjaya mencapai penyelesaian terhadap isu sempadan maritim dan darat yang tertangguh sejak 45 tahun lalu, sehingga termeterainya beberapa persetujuan dan komitmen. - KitaReporters



Akhirnya, Malaysia dan Indonesia berjaya mencapai penyelesaian terhadap isu sempadan maritim dan darat yang tertangguh sejak 45 tahun lalu, sehingga termeterainya beberapa persetujuan dan komitmen.

"Pelbagai isu telah dirungkai secara tegas, berani dan berhemat. Daripada penyelesaian mengenai sempadan maritim dan darat yang tertangguh sejak 45 tahun lalu.

"Ini sehingga pemeteraian pelaburan rentas sempadan di sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, dan keterjaminan makanan yang membawa maksud bahawa ia bukan sekadar proses diplomatik biasa, tetapi satu iltizam kenegaraan yang berpasak pada pragmatisme," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada .

Beliau yang dalam kerangka Perundingan Tahunan Ke-13 berkata, Malaysia dan Indonesia telah membuktikan bahawa nilai dan warisan sejarah, keakraban budaya, dan kepemimpinan yang teguh berprinsip dapat menjadi tiang seri kerjasama dua hala yang kukuh. 

"Hari ini saya bersama Presiden Prabowo Subianto telah menoktahkan satu lagi lembaran penting dalam hubungan strategik antara dua bangsa serumpun. Kita sepakat bahawa penyelesaian sempadan adalah lambang kedaulatan dan keyakinan bersama," tegas Anwar.



Malaysia juga, katanya, teguh dalam komitmen untuk mengangkat dan membela nasib nelayan, pekerja migran, komuniti sempadan dengan kebijakan yang berpihak pada maruah dan kemanusiaan. 

"Justeru, ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Serikin akan menjadi pemangkin baharu kepada kesejahteraan di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan," jelas beliau.

Perdana Menteri turut memberitahu, acara rundingan ini turut memungkinkan kerjasama masa depan yang lebih mendalam dalam bidang kesihatan, pendidikan tinggi, industri halal, serta pendigitalan. 

"Walhasil, ia pastinya akan menyumbang ke arah pengukuhan hubungan dua negara, selain merintis hala tuju masa depan ASEAN yang lebih bersatu dan bersedia mendepani cabaran global, dari Myanmar hingga Gaza," tambahnya.

Anwar berkata, dalam kerangka ASEAN pula, Malaysia akan terus memainkan peranan yang proaktif dalam mendepani konflik serantau dengan ketegasan dan hikmah, seperti yang terjelma dalam Mesyuarat Khas Kemboja-Thailand di Kuala Lumpur pada 28 Julai 2025. 

"Dunia tentunya memerhati, dan Malaysia tidak akan berganjak daripada prinsip keadilan, keamanan dan budaya wacana yang sihat. 

"Mesti ditegaskan bahawa Malaysia tidak akan memilih jalan selesa dan sekadar reaktif. Kita memimpin dengan agenda yang jelas, membina dengan nilai, dan bergerak atas kekuatan prinsip. 

"Hubungan Malaysia-Indonesia hari ini akan terpatri sebagai wahana ampuh kepada kebangkitan serantau yang jitu dan bermaruah," tegasnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


16
12
0
10
0
You will be interested