Politik & Negara 01 Oct, 2023

Bahasa Melayu kian dipinggirkan! Tapi Ismail Sabri yakin PM, Malaysia Madani akan usaha martabatkan!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bimbang keghairahan pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan menggunakan bahasa asing akan melupuskan bahasa Melayu. 

Beliau berkata, tindakan pengeyaan (affirmative action) perlu dilaksanakan dengan segera dengan meminda undang-undang 

supaya penggunaan bahasa yang tepat dapat diperluas.

"Pihak swasta dilihat lebih galak menggunakan bahasa Inggeris. Kebanyakan acara dianjurkan menggunakan bahasa Inggeris.

"Adakah kita masih akan berbicara dan berdebat mengenai bahasa Melayu untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang?

"Mungkin kita satu-satunya negara yang masih bergelut dan berjuang untuk memartabatkan bahasa sendiri sejak merdeka sehingga hari ini?" katanya.

Beliau berkata demikian dalam kolumnya Jalar Fikir yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 30 September 2023. 

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, beliau yakin Kerajaan Malaysia Madani akan memberi perhatian kepada perkara ini.

"Saya percaya kerajaan hari ini memberi perhatian kepada perkara ini malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin yang sentiasa berjuang untuk mengangkat martabat bahasa Melayu.

"Ini dapat dilihat daripada bahasa percakapan dan ucapan-ucapan rasmi beliau sejak dahulu lagi menggunakan istilah-istilah ‘pelik’ seperti canggih, ketimbang, wewenang dan purbasangka.

"Beliau membuktikan bahasa Melayu mempunyai kepelbagaian dan ragamnya yang tersendiri," katanya.



Beliau turut mahu bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ekonomi dalam urusan dagang antarabangsa. 

"Negara-negara maju Eropah seperti Jerman dan Perancis, begitu juga China dan Jepun berupaya menguasai bidang ekonomi, perniagaan dan penghasilan teknologi baharu meskipun menggunakan bahasa ibunda masing-masing. 

"Bahasa Melayu telah dijadikan lingua franca atau bahasa perantaraan dalam urusan perdagangan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka," katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media

9
12
0
14
0
You will be interested