Kenyataan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akaun Facebooknya pada 15 September 2023
Alhamdulillah, hari ini (15 September 2023) saya dapat bersama meluncurkan Majlis Penghantaran 3 Kontena - Wakaf Sejuta Qur’an di Nasyrul Quran, Putrajaya dengan kerjasama Yayasan Restu dan Nasyrul Quran.
Penghantaran kali ini melibatkan 30 ribu naskhah al-Qur’an terjemahan bahasa Inggeris diiringi dengan terjemahan bahasa Cina, ke tiga buah negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom.
Usaha Kerajaan Perpaduan menyokong inisiatif ini adalah konsisten dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan al-Quran khususnya mengungkap semangat Madani yang menjunjung nilai dan akhlak bertunjangkan agama.
Dua fasa disasarkan antara 2023-2025 bagi tugas melengkapkan cetakan sejuta naskhah terjemahan al-Qur’an pelbagai bahasa. 15 bahasa disasarkan bagi fasa pertama, dan 15 lagi untuk fasa kedua.
Saya juga berkesempatan solat Jumaat di Nasyrul Quran, Putrajaya yang diimamkan oleh Fadilatush Shaykh al-‘Allamah al-Muhaddith Dr. Mustafa al-Nadawi, ulama dari Mesir dan mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Mejar Jeneral (B) Dato' Nawawi Daud, mantan Ketua Pengarah Kor Agama Tentera Darat (KAGAT).
Usai solat, saya menyantuni jemaah dan warga Nasyrul Quran, sambil diajak bergambar dan bersalaman sebelum pulang ke pejabat untuk tugasan seterusnya.
Moga kita semua beroleh keberkatan di hari Jumaat ini, penghulu segala hari, Insya-Allah.
Tags:
#Australia
#al-Quran
#ulama
#hikmah
#Kanada
#wakaf
#Islamofobia
#United Kingdom (UK)
#wakaf al-Quran
#Kompleks Nasyrul Quran
#Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat)
#Malaysia Madani
#Madani
#terjemahan
#Wakaf Sejuta Qur’an
#al-Quran terjemahan
#Nasyrul Quran
#pendekatan berhikmah
#Dr Mustafa al-Nadawi
#ulama Mesir
#Nawawi Daud
#sejuta naskhah