Bisnes & Ekonomi 30 May, 2024

Peluang meneroka pasaran China! Produk Marsche Formage dan Toksu Shon ke My Warehouse @ Wuxi, China!

Share this

Bandar raya Wuxi, China


JALINAN rangkaian penting untuk memasarkan apa juga produk yang dihasilkan tetapi tanpa sokongan daripada pihak tertentu, sebagus mana sekalipun produk yang dihasilkan itu, ia tidak pasti lagi dapat menembusi pasaran luar negara.

Republik Rakyat China adalah sebuah negara yang besar dan mempunyai populasi penduduk 1.1 bilion. Justeru tidak hairanlah jika pasarannya luas.

Namun begitu, bagi produk tempatan negara kita untuk menembusi pasaran negara Tembok Besar itu, harus menepati kehendak mereka. Bukannya boleh dihasilkan mengikut selera atau citarasa kita.

Bertuah bagi dua syarikat iaitu Una Marketing and Resources Sdn Bhd dan Juta Global Marketing Sdn Bhd yang terpilih untuk membawa produk masing-masing ke Pavilion Malaysia di Wuxi, China sempena My Warehouse @ Wuxi, China yang bakal berlangsung pada Ogos 2024 nanti.

Jika kedua-dua syarikat tempatan itu menghabiskan masa bertahun-tahun lamanya untuk membuat penyelidikan (R&D), usaha itu berbaloi kerana produk masing-masing akan ke Wuxi.

Strategi pemasaran lebih memihak kepada kedua-dua syarikat tempatan kerana mereka tidak perlu tercari-cari ejen untuk menembusi pasaran di China.

Sebaliknya dengan adanya produk secara fizikal di Pavilion Malaysia di Wuxi, China pada bulan Ogos 2024 nanti, beratus-ratus ejen akan ada di situ untuk menjalankan kerja-kerja pemasaran.



Setapak lagi syarikat tempatan milik orang Melayu dapat tembusi pasaran di China dan dengan dua syarikat pilot ini, ramai yang mengharapkan agar produk yang diusahakan oleh mereka khususnya produk hiliran, mendapat sinar yang sama.

Pengeluar keju tempatan jenama Marsche Formage, yang dihasilkan oleh syarikat Juta Global Marketing Sdn Bhd, tembusi pasaran Tembok Besar China.

Baru-baru ini, dua syarikat tersebut iaitu Juta Global Marketing Sdn Bhd dan Una Manufacturing and Resources Sdn Bhd terpilih oleh Dewan Perniagaan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia (DPPPM) untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Wuxi Federation Industry of Commerce, China.

Produk daripada kedua-dua syarikat tersebut akan menyertai My Warehouse @ Wuxi, China pada Ogos nanti yang mana produk-produk berkenaan akan dipamerkan di Pavilion Malaysia di Wuxi.

Menurut Ahli Jawatankuasa DPPPM-Wuxi, Dato’ Seri Sharizal Sarip, di Pavilion Malaysia, Wuxi, nanti, ramai ejen akan berada di pavilion untuk memilih memasarkan produk daripada syarikat pengeluar produk dari Malaysia.

“Pihak DPPPM menerima lebih daripada 500 syarikat yang mengeluarkan produk untuk menyertai My Warehouse @ Wuxi, China dan selepas disaring, ada lebih 200 syarikat tetapi kita memilih dua syrikat sahaja iaitu Una dan Juta,” katanya pada sidang akhbar usai majlis MoU.

Menurut beliau, Wuxi adalah pintu masuk bagi produk-produk yang akan dipasarkan di China dan ramai ejen pemasaran akan berada di Pavilion Malaysia di Wuxi.



Sementera itu, Penasihat Una, Mohd Dzamri Abullah memberi pencerahan, mereka akan membawa lima produk ke Wuxi.

“Produk pertama ialah yang berasaskan kari dan kari pula terbahagia kepada dua iaitu kari mamak dan kari Melayu. Produk kedua, bakso; ketiga produk Eropah iaitu spaghetti, keempat produk berasakan tradisional iaitu ketupat dan rendang,” katanya sambil menambah, produk kelima, ayam masak merah dan ayam masak hitam juga akan dibawa.

Tambah Mohd Dzamri lagi, bagi ayam masak merah dan ayam masak hitam, berkonsepkan kombo dan single yang mana disertakan sekali dengan nasi putih dan nasi briyani.

Produk bakso atau meat ball halal yang dibawa nanti, kata Mohd Dzamri, mereka bekerjasama dengan syarikat daripada Indonesia memandangkan bakso makanan berasal dari negara seberang.

Tambah beliau, di bawah jenama Toksu Shon, terdapat 10 jenis ketupat termasuk ketupat palas utara dan ketupat palas Pantai Timur.

“Ketupat palas yang kita bawa ialah yang tawar atau lemak dan ia sesuai untuk makan dengan rendang ataupun serunding,” ujar beliau.

Bagi Pengurus Hal Ehwal Korporat, Juta, Ahmad Zaren Abd Rahman, produk keju yang dihasilkan oleh syarikat Juta merupakan produk keju pertama di dalam negara.

“Syarikat berkemampuan mengeluarkan tujuh tan sebulan keju atau 15 kontena dalam tempoh sebulan. Maksimum pengeluaran keju ialah 50 kontena sebulan dan semua produk keju di bawah jenama Marsche Formage,” katanya. - KitaReporters


7
10
0
11
0
You will be interested