Bisnes & Ekonomi 20 Dec, 2024

Program Sejahtera Komuniti Madani! Projek Penanaman Cendawan Tiram di Kpg Buaia buahkan hasil baik!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian dan Harian Watan. Emel: [email protected]

Share this

Haslan Abdul Halim (dua dari kiri) bersama Dr. Riam Chau Mai (dua dari kanan) dan Pengarah Politeknik Chenderoh Meor M. Sharifuddin Meor Shukri (kanan) menunjukkan cendawam tiram semasa lawatan di Kampung Sungai Buaia, di Padang Rengas, Perak. 


Kampung Buaia, di Padang Rengas bertuah apabila kerajaan Madani meluluskan geran sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan Projek Penanaman Cendawan Tiram.

Projek di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) itu dilaksanakan pada Ogos 2024 dengan mendapat kerjasama daripada Kolej Komuniti Chenderoh.

SejaTi Madani ialah inisiatif baharu Kerajaan Perpaduan bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi pada peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana di antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung itu, Haslan Abdul Halim berkata, projek itu dilaksanakan dengan bertujuan membantu golongan ibu tunggal, pesara dan suri rumah bagi menambahkan pendapatan mereka.

Beliau berkata, pihaknya menyewa sebidang tanah seluas satu ekar bagi melaksanakan projek itu.

Katanya, seramai 16 ahli JPKK telah terbabit dengan projek ini melibatkan enam rumah cendawan berkeluasan 20 x 20 kaki bagi setiap sebuah rumah.

“Saya mencadangkan projek cendawan tiram kerana kebanyakan komuniti penduduk yang terbabit dengan projek SejaTi Madani di sini (Kampung Buaia) melaksanakan projek ternakan ikan keli.

“Saya dapati banyak komuniti melaksanakan projek keli dan bimbang jika saya mewujudkan projek yang sama boleh menjadi lambakan dan susah untuk dijual,” katanya ketika ditemui di kampung itu pada 18 Disember 2024.


Sebahagian 16 peserta yang menyertai projek cendawam tiram di Kampung Sungai Buaia, di Padang Rengas, Perak.


 Haslan berkata, sejak dilaksanakan, pihaknya telah berjaya menjual hasil cendawan tiram sebanyak tiga kali pengeluaran dengan pendapatan sebanyak RM1,500 setiap sebulan.

“Kita buat secara berperingkat-peringkat untuk memastikan bekalan cendawan tiram tidak terjejas.

“Kita juga mendapatkan benih daripada Jabatan Pertanian yang membantu dan tempoh matang bungkah cendawan dalam tempoh dua bulan boleh mendapat hasilnya,” katanya.

Haslan berkata, cendawan tiram memerlukan suhu bawah 40 darjah celcius untuk pembiakan.

Menurutnya, permintaan terhadap cendawan tiram amat menggalakkan terutama di sekitar kawasan Padang Rengas.

“Cendawan tiram dipasarkan dengan harga RM18 untuk sekilogram.

“Saya bercadang untuk memperluas projek ini pada masa depan kerana rancangan masa depan projek ini akan ditingkatkan," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK) Dr. Riam Chai Mau berkata, sebanyak lima projek telah diluluskan di Perak iaitu di Gerik, Taiping, Pasir Salak, Chenderoh dan Bagan Serai melibatkan projek pertanian dan penternakan, perikanan, kraftangan, pelancongan dan kitar semula.

Menurut beliau berkata, projek itu membantu isi rumah dan ibu tunggal bagi menjana pendapatan melalui peningkatan ekonomi.

“Kita diberi tanggungjawab untuk membantu dan memantau projek ini bagi memastikan ia mencapai kejayaan dan sekali gus projek ini mampu berdikari,” katanya.

Menurut Riam, sebanyak 21 projek yang diluluskan dipantau pihaknya daripada 55 permohonan.

“Setiap satu projek mendapat peruntukan sebanyak RM100,000 dan projek ini diteruskan sehingga tahun 2025,” jelasnya. - KitaReporters

12
10
0
5
0
You will be interested