Bisnes & Ekonomi 05 Nov, 2024

Projek Cup of Hope! Bantu golongan rentan terutama kanak-kanak! Usaha CSR HWC Coffee dan IR Malaysia!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this

Zenda Ng (kiri) dan Syed Saleh Syed Abdul Rahman menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara HWC Coffee dan IR Malaysia.


HWC Coffee dan Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjayakan sebuah kolaborasi kemanusiaan dipanggil Projek “Cup of Hope” (Cawan Harapan) yang bermula 1 November 2024 hingga 31 Disember 2025.

MoU tersebut ditandatangani dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HWC Coffee, Zenda Ng dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam Majlis Pembukaan Cawangan Baharu HWC dan Pengumuman Pensijilan Halal yang diadakan di D'Pulze Mall, Cyberjaya pada 1 November 2024.

Menurut Zenda, pemeteraian MoU ini membuka peluang yang lebih besar kepada HWC Coffee untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam membantu golongan rentan terutama kanak-kanak di Malaysia.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Islamic Relief Malaysia dalam usaha kami memberi semula kepada masyarakat.

“Program CSR bersama kami akan mencerminkan nilai-nilai murni bersama dan menunjukkan komitmen kami untuk membuat perubahan yang bermakna,” katanya.

Tambah Zenda, Projek “Cup of Hope” yang diperkenal itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu mereka yang memerlukan melalui pelbagai inisiatif seperti Drip Bag Coffee, Coffee Workshop dan Direct Donation.

“Kami menyasarkan kutipan dana sebanyak RM100,000 bagi Projek “Cup of Hope” ini," tambah Zenda. 


Dari kiri, Penny Chan, Zenda Ng, Syed Saleh, Ar. Noor Azizee Abd Azizi dan Edmund Lai bergambar selepas sesi menandatangi MoU.


Sementara itu, Syed Saleh berkata, IR Malaysia berbesar hati dapat menjalin kerjasama strategik bersama HWC Coffee yang pernah memenangi HQC Global Brand Award (Halal Excellence Brand 2022/2023).

“Kerjasama ini merupakan langkah strategik yang sangat bermakna bagi kami dalam dalam usaha untuk membina masa depan yang lebih baik dan adil buat kanak-kanak di Malaysia.

“Dengan kerjasama ini, dana terkumpul akan disalurkan kepada empat program Islamic Relief Malaysia iaitu Share The Joy, Shopping Raya, Special Case Appeal dan Cheer To School (CTS).

“Seramai 190 kanak-kanak dan 3 keluarga kurang berkemampuan bakal menerima manfaat melalui program-program ini yang akan dilaksanakan bermula awal Januari 2025.

“Kesemua program yang dirancang ini selari dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti tiada kemiskinan, kesihatan yang baik dan sejahtera, pendidikan berkualiti serta mengurangkan ketidaksamarataan.

“Saya juga berbangga apabila salah satu inisiatif HWC Coffee iaitu jualan Drip Bag Coffee turut menggunakan hasil lukisan pelajar-pelajar Refugee Intellectual Skills and Excellence (RISE), sebuah pusat bimbingan alternatif Islamic Relief Malaysia,” katanya.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi HWC Coffee, Penny Chan; Ketua Pegawai Pemasaran HWC Coffee, Edmund Lai; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood; Pengurus Kanan Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia, Sharmiza Husin; Presiden Ansara Malaysia, Ar. Noor Azizee Abd Aziz; serta Ikon Kemanusiaan IR Malaysia, Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz (Saujana) dan Cef Imelda Harris. 

Orang ramai juga berpeluang untuk menyumbang terus ke IR Malaysia menerusi Projek “Cup of Hope” di laman web; www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk mendapatkan maklumat lanjut. - KitaReporters/Kenyataan Media

9
9
0
21
0
You will be interested