Insan & Komuniti 06 Aug, 2020

Syabas Elfaeza Ul Haq! Bersama kempen IRM selamatkan Yaman!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

YAMAN (YEMEN) telah dilanda konflik bersenjata sejak Mac 2015 dan merupakan salah satu negara paling miskin di Asia Barat. Seramai 24.3 juta orang iaitu bersamaan 80 peratus daripada jumlah keseluruhan 30.5 juta populasi penduduk Yaman dijangka akan terus memerlukan bantuan kemanusiaan sekiranya konflik peperangan di negara tersebut kekal berlarutan. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan IRM:

https://kitareporters.com/search?search=islamic+relief


Menurut kenyataan media Islamic Relief Malaysia (IRM), krisis selama 5 tahun itu telah memberikan kesan buruk kepada kehidupan orang awam terutamanya kanak-kanak sehingga mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan menyebabkan 3.65 juta penduduk Yaman kehilangan tempat tinggal

Krisis kemanusiaan terburuk dunia menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga telah melumpuhkan akses keperluan asas seperti makanan, kesihatan, nutrisi, penempatan, pendidikan, air dan sanitasi, jaringan keselamatan sosial, serta memusnahkan kebanyakan infrastruktur termasuk pusat-pusat kesihatan.

 Berdasarkan laporan daripada World Food Programme (WFP), 15.9 juta penduduk Yaman bangun tidur dalam keadaan lapar setiap hari dan jumlahnya dijangka bakal meningkat kepada 20 juta. Kira-kira separuh daripada kanak-kanak Yaman berumur bawah 5 tahun mengalami masalah tumbesaran yang tidak normal atau terbantut

Situasi ini mengakibatkan kadar kekurangan nutrisi makanan dalam kalangan wanita dan kanak-kanak di Yaman kekal antara yang tertinggi di dunia. 

Dalam menghadapi konflik perang saudara, masalah kebuluran dan isu epidemik kolera, kini Yaman berdepan situasi lebih parah dengan kehadiran wabak pandemik Koronavirus (COVID-19). Pada pertengahan Jun 2020, Yaman telah mencatatkan lonjakan kes kematian harian tertinggi akibat COVID-19 sejak April 2020. PBB juga telah mengeluarkan amaran mengenai ancaman wabak ini di Yaman. 

Menurut Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF), kelemahan sistem kesihatan dan infrastruktur perubatan nyata memburukkan lagi nasib kanak-kanak Yaman yang sudah sedia terjejas berikutan akses kepada bantuan perubatan yang sangat terhad. Kini mereka terpaksa memfokuskan kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.  

Menurut maklumat daripada Pengarah Negara Islamic Relief Yaman, hanya beberapa pusat kuarantin sahaja dapat beroperasi. Kakitangan Islamic Relief di lapangan adalah saksi utama yang melihat penderitaan penduduk Yaman juga kecekalan petugas barisan hadapan yang berusaha keras untuk memberikan rawatan. 

Bahkan mereka juga berdepan pilihan sukar sama ada memilih untuk duduk di rumah bagi memastikan ahli keluarga dalam keadaan selamat, atau pergi bekerja seterusnya mendedahkan diri dengan risiko terkena jangkitan kerana kekurangan kelengkapan dan peralatan perlindungan diri. Selain itu, mereka juga berdepan kesukaran untuk mengenal pasti individu pembawa virus tidak bergejala atau sudah positif dijangkiti.


Menyedari akan kepentingan perpaduan global bagi kelangsungan hidup, selebriti dan ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Elfaeza Ul Haq telah mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen Yemen: Save a Life Today With Elfaeza Ul Haq secara dalam talian untuk membantu mereka yang terjejas di Yaman pada 23 Jun 2020 lalu. Kempen ini dijalankan secara berperingkat-peringkat sehingga penghujung Ogos 2020

Objektif usaha ini dijalankan adalah bagi mengumpul dana sebanyak RM300,000 untuk membantu penduduk Yaman dengan menyalurkan bantuan merangkumi tiga sektor utama iaitu makanan, air, sanitasi dan kebersihan, kelengkapan perubatan, serta barangan bukan makanan (NFIs)

Ketika ini, seluruh pejabat pengumpulan dana Islamic Relief juga sedang giat menjalankan hebahan serta menyebar luas maklumat tentang penderitaan yang dilalui penduduk Yaman bagi meningkatkan kesedaran orang ramai sekaligus mengumpulkan dana bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Elfaeza Ul Haq - Kredit foto: IG @ElfaezaUlHaq


Ini bukan kali pertama Elfaeza bergiat aktif dalam aktiviti kemanusiaan di peringkat global. Terdahulu, dia bersama rakan-rakan ikon kemanusiaan yang lain telah melancarkan kempen Feed the Hungry in Somalia With Elfaeza & Islamic Relief Malaysia untuk memberikan bantuan berupa pek makanan Ramadan kepada penduduk di Somalia melalui platform yang sama iaitu LaunchGood. 

Kempen ini telah berjaya mengumpulkan dana melebihi sasaran awal sebanyak RM130,495 dengan sumbangan dan sokongan para penderma dari dalam mahupun luar negara. 

Elfaeza menjelaskan bahawa dia terdorong untuk turut melakukan kerja-kerja amal apabila dia melihat pelopor dari negara Barat melakukan hal yang sama pada skala yang lebih besar. 

Dia yakin bahawa sebagai umat Islam, dia perlu memberikan contoh tauladan yang lebih baik kepada orang ramai. Tambahnya lagi, penglibatannya dalam dunia kemanusiaan ini bukan sahaja untuk membantu golongan rentan, namun ia juga untuk membantu dirinya menjadi lebih tenang dengan memperbanyakkan rasa syukur di atas kurniaan Allah SWT di samping mengharapkan keredhaan-Nya. 

Elfaeza yang sering aktif menjalankan perkongsian menerusi Instagram live bersama rakan selebriti dari Malaysia dan Singapura sering mengingatkan orang ramai juga para pengikut media sosialnya bahawa sumbangan tidak hanya dinilai dalam bentuk wang ringgit. Malahan, besar atau kecil nilai yang disumbangkan bukan kayu ukur keikhlasan kita untuk membantu. 

Baginya, apa yang penting adalah kesedaran untuk melakukan kebaikan dan berkongsi rezeki bersama insan yang memerlukan meskipun kita tidak pernah mengenali mereka sama sekali. Dia percaya bahawa peluang yang dikurniakan Allah SWT ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas dengan sebaiknya. Semoga ianya bakal menjadi bekalan menghadap Illahi dan asbab untuk ke syurga abadi.


Orang ramai yang berminat untuk turut serta menyokong usaha murni Elfaeza boleh melakukan sumbangan menerusi platform berikut:
  • 1) Kad kredit/debit (jika anda mengalami kesukaran untuk meneruskan langkah seterusnya, sila hubungi pusat khidmat pelanggan bank anda untuk pertanyaan lanjut).
  • 2) Nombor akaun CIMB Islamic Relief Malaysia: 8602073818. Sila isikan bahagian butiran pembayaran dengan ‘LG Elfaeza’ untuk rujukan dan rekod pihak Islamic Relief Malaysia.
  • 3) Bagi akaun bank yang tidak mempunyai bahagian butiran pembayaran, anda boleh hantarkan bukti pembayaran (resit/slip bank) ke aplikasi WhatsApp Islamic Relief Malaysia di +60196379788.
  • 4) Bagi rakyat Singapura yang ingin memberikan sumbangan, anda boleh melakukan pemindahan wang secara atas talian menggunakan akaun PayNow kepada Elfaeza Ul Haq dengan ‘LG Elfaeza’ dan Elfaeza akan melakukan pembayaran tersebut bagi pihak anda. Kod PayNow: 97271089.

Semoga dengan keprihatiann rakyat Malaysia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penduduk Yaman untuk meneruskan kelangsungan hidup. 

Untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai kempen ini dan proses gerak kerja bantuan yang telah disalurkan, anda boleh mengunjungi laman sosial Elfaeza Ul Haq dan Islamic Relief Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut. - KitaReporters

1
0
0
0
0
You will be interested