Seni & Sukan 07 Jun, 2024

Makin berliku, kian samar laluan Harimau Malaya! Hanya seri 1-1! Kapten Kyrgyzstan jadi penyelamat?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KESEBELASAN  utama Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan di Bishkek, memperagakan jersi No. 7 Faisal Halim sebelum perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Kumpulan D. - Kredit foto: FAM


PELUANG yang kian samar dan laluan semakin berliku. Inilah hasilnya yang menimpa Harimau Malaya setelah sekadar mengikat Kyrgyzstan 1-1 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, awal pagi Jumaat, 7 Jun 2024 (waktu kita).

Malah hanya jaringan sendiri penyamaan oleh kapten tuan rumah, Kichin Valerii pada minit ke-38 yang ‘menyelamatkan’ pelawat dari ambang kekalahan setelah dibolosi rembatan Alykulov Gulzhigit, minit ke-23.

Gol hadiah itu berpunca daripada sepakan percuma perantara naturalisasi Brazil, Endrick Dos Santos yang terkena badan Valerii ketika cuba membendung asakan kapten negara, Dion Cools dalam kotak penalti.

Skuad Kim Pan-gon kini memikul tugas berat untuk berpesta gol terhadap Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024  ini sambil menagih Oman meratah Si Helang Putih di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, pada hari yang sama.

Malaysia kekal di anak tangga ketiga Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan tujuh mata di belakang Oman yang turut menewaskan Taiwan 3-0 di Stadium Perbandaran Taipei, sekali gus mengumpul 12 mata dan layak ke Piala Asia manakala Kyrgyzstan, 10 mata.


ENDRICK Dos Santos (tiga dari kiri) dan Dion Cools (21) yang terbabit dalam gol sendiri penyamaan Harimau Malaya oleh kapten Kyrgyzstan. - Kredit foto: FAM 


Sekiranya pasukan kita mungkin terikat 10 mata pada hari perlawanan terakhir itu, skuad Stefan Tarkovic masih berkelebihan jurang gol yang besar, enam berbanding negatif 2 untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi sebagai naib juara kumpulan.

Jika kandas pada peringkat ini, maka Harimau Malaya sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat namun masih perlu mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia untuk ke Arab Saudi, tiga tahun lagi.

Namun perlawanan di Bishkek itu tetap merakamkan keazaman anak-anak buah Pan-gon menambah gol antaranya menerusi tandukan seorang lagi pemain naturalisasi Brazil, Paulo Josue yang sempat disambut oleh Tokotaev Erzhan pada minit ke-45.

Penjaga gol tuan rumah itu turut menafikan rembatan kaki kiri Paulo pada minit ke-82 sebelum penyerang Malaysia ini digantikan oleh Haqimi Azim Rosli, penyarung jersi No. 7 milik sayap kiri, Faisal Halim yang pada bulan Mei 2024 lalu diserang dengan simbahan asid. - KitaReporters


MALAYSIA: Azri Ghani, Matthew Davies (Declan Lambert), Dominic Tan, Stuart Wilkin (Adib Ra’op), Endrick Dos Santos, Safwan Mazlan, Nooa Hamzah Laine, Paulo Josue (Haqimi Azim Rosli), Akhyar Rashid (Safawi Rasid), Dion Cools, La’Vere Corbin-Ong.


PAULO Josue yang menjadi penyerang tunggal Harimau Malaya, terlepas dua peluang keemasan menambah gol terhadap Si Helang Putih. - Kredit foto FAM 


 

9
8
0
12
0
You will be interested