Seni & Sukan 30 May, 2021

Video| Raih keputusan positif, terus fikir positif! Niat hari jadi ke-53 Cheng Hoe! Buat terbaik!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

TAN Cheng Hoe (baju putih, lima dari kanan) memberikan kata-kata perangsang kepada Harimau Malaya dalam sesi latihan di hotel penginapan di Dubai. - Kredit foto: FAM


TIADA lain kecuali membawa Harimau Malaya meraih keputusan yang positif dalam baki tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan kedua Kumpulan G.

Inilah hasrat ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe apabila menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-53 pada hari ini Ahad, 30 Mei 2021 bersama 25 pemain dan barisan penolongnya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).  

"Memang impian setiap jurulatih ialah melihat pasukannya mencapai kejayaan dan bukan sahaja apabila tiba hari jadinya. Sudah tentu 'niat hari jadi' saya ialah melihat pasukan kita menang dengan UAE (di Stadium Zabeer, Dubai, 3 Jun 2021 ini). 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya


"Tapi kita perlu ingat, ada dua lagi perlawanan dengan Vietnam dan Thailand (di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 11 dan 15 Jun 2021 ini) juga penting. 

"Jadi, biarlah kami fokus satu persatu perlawanan pada satu-satu masa," katanya pada sidang media secara maya dengan wartawan sukan Malaysia dari Dubai, pada 30 Mei 2021.


KHIDMAT Cheng Hoe dengan pasukan negara banyak bergantung kepada pencapaian dalam Kelayakan Piala Dunia/Asia ini dan Piala AFF, hujung 2021 ini. - Kredit foto: FAM



Cheng Hoe, bekas pemain Kedah dan Malaysia era 90-an, masih berfikiran positif dengan peluang Harimau Malaya yang kini mengekori pendahulu Kumpulan G, Vietnam dengan sembilan mata.

Anak-anak buahnya walau bagaimanapun kalah kedua-dua perlawanan pemanas badan, 4-1 dan 2-0 kepada Kuwait dan Bahrain di Stadium The Sevens, Dubai dan Stadium Nasional Bahrain, Riffa pada 23 dan 28 Mei 2021 lalu.

"Kami kena cepat dapatkan kembali keserasian pemain dan semangat kerjasama serta sepasukan. Kesilapan individu lalu, perlu diatasi segera menjelang kelayakan yang cukup genting ini. 

"Bermain dua perlawanan (persahabatan) antarabangsa itu memang menuntut kepesatan yang tinggi. Ada pemain yang sangat keletihan apatah lagi sudah lama tidak beraksi sebegini (18 bulan sejak kali terakhir menewaskan Indonesia 2-0 dalam kelayakan kumpulan itu, 19 November 2019 lalu).

"Mujurlah tiada siapa yang tercedera selepas menentang Kuwait dan Bahrain," katanya.


KESEBELASAN utama Malaysia menentang Bahrain, 28 Mei 2021 lalu. Mohamadou Sumareh (belakang, tiga dari kiri), Guilherme de Paula tidak bermain kerana belum memenuhi syarat lima tahun pemastautin. - Kredit foto: FAM


Tuan rumah yang digelar Al-Abyad (Si Putih) turut mempunyai banyak kelebihan di ranking ke-73 dunia berbanding Malaysia, 153 dan pertemuan 10 September 2019 di Bukit Jalil menyebelahi lawan 2-1. 

"Saya sedar penyerang mereka, Ali Ahmed Mabkhout begitu 'berapi' sekarang. Dia skor ketika mereka membelasah India 6-0 (Mac 2021 lalu) dan buat hatrik dengan Jordan 5-1 (di Dubai, 24 Mei 2021 lalu). Barisan serangan mereka bagus. 

"(Namun) saya sudah ingatkan pasukan, kita tidak akan hanya bertahan sepanjang 90 minit. Untuk raih keputusan yang positif, kita kena juga menyerang," katanya.  


CHENG Hoe (kanan) kecewa dengan kedua-dua kekalahan menentang Kuwait dan Bahrain tetapi sentiasa positif untuk menyaksikan peningkatan drastik persembahan pasukannya. - Kredit foto: FAM 


Mengenai kehadiran pemain naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula, katanya, "Mohamadou Sumareh sudah lama dan biasa dengan pasukan tetapi mereka berdua masih cuba berikan 100 peratus untuk mencapainya walaupun bukan senang."

Kedua-dua perantara menyerang dan penyerang kelahiran Kosovo dan Brazil itu hanya mula dipanggil menyertai persiapan pasukan negara pada 23 Mac 2021 di Johor Bahru, Johor dan 21 Mei 2021 di Dubai lalu. 

Akui Cheng Hoe, benteng kanan Malaysia didapati longgar ketika dua persahabatan lalu dan menampungnya secara drastik menjadi sebahagian perancangannya dalam tempoh empat hari ini. 

"Irfan Zakaria (bek tengah) melakukan kesilapan individu (gol pertama penalti Bahrain). Dia sudah diingatkan agar tidak mengulanginya namun kita perlu meyakininya jika mahu memberikannya peluang bermain lagi," katanya. - KitaReporters 


GUILHERME de Paula membuktikan bisanya sebagai penjaring utama negara ketika kalah 4-1 kepada Kuwait, 23 Mei 2021 lalu. - Kredit foto: FAM


LIRIDON Krasniqi (kiri) terbabit dalam hantaran bola ke belakang kepada penjaga gol Farizal Marlias yang akibatnya dihukum dengan gol kedua Bahrain. - Kredit foto: FAM


AKSI satu daripada tiga peluang keemasan Malaysia untuk membolosi gawang Bahrain. Brendan Gan, perantara (kiri) bakal terlepas menentang UAE kerana menjalani penggantungan dua kad kuning. - Kredit foto: FAM

0
0
0
0
0
You will be interested