RAJA Mswati III dari Swaziland dikritik rakyatnya sendiri kerana membelanjakan hampir AS$17 juta (RM70 juta) bagi membeli ratusan kereta mewah semata-mata untuk menggembirakan 14 isteri dan 23 anaknya ketika kegawatan ekonomi melanda negara itu. : KitaReporters.
Menurut laporan Daily Mail, saksi melihat kereta model BMW X3 dan 5-Series yang setiap satu berharga lebih £30,000 (RM160,190) berbalut plastik di atas treler untuk dihantar menaiki kapal dari Afrika Selatan baru-baru ini.
Raja berusia 51 tahun itu dilaporkan telah mengimport 19 buah Roll Royce dan 120 BMW dari Afrika Selatan untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga dan tindakan itu sekali gus mengundang kecaman daripada ahli-ahli politik pembangkang yang menyifatkan Mswati sebagai sombong dan riak.
Monarki paling kontroversi, dengan kuasa politik yang tidak terhad pada 1.3 juta rakyatnya, beliau adalah satu-satunya raja yang mutlak di benua itu dan menduduki takhta pada usia 48 tahun.
Swaziland Times memetik, walaupun tindakan Raja Mswati itu dipertahankan oleh Perdana Menterinya, Ambrose Mandvulo Dlamini yang mendakwa perbelanjaan mewah di atas kereta diraja itu sejajar dengan dasar menjual kenderaan kerajaan yang berumur lima tahun, namun ia terus menerima bantahan dari rakyat dan ahli politik pembangkang.
Percubaan untuk melindungi raja itu mendapat tentangan pembangkang khususnya Ketua Setiausaha Gerakan Demokratik Rakyat (Pudemo), Wandile Dludlu yang mengambarkan tindakan itu sebagai angkuh dan tidak menghiraukan perasaan rakyat Swaziland yang dihimpit kemiskinan.
Menurut beliau, sebagai sebuah parti pembangkang pihaknya kurang prihatin mengenai berapa jumlah isteri dan anak-anak raja itu.
Katanya, masalah besar pada masa ini adakah perlu raja membelanjakan harta kerajaan bagi membeli kenderaan mewah semata-mata untuk menjaga dan melayan kroninya, bukan rakyat.
Mswati sebelum ini pernah mencetuskan kontrovesi kerana membeli sebuah jet peribadi mewah bernilai £200 juta (RM1.1 bilion) tanpa memikirkan rakyatnya yang bergelut dengan kemiskinan.
Dludlu berkata, Raja Mswati terus memanjakan isteri dan keluarganya tanpa menyedari bahawa ada banyak masalah yang menimpa orang-orang di sekelilingnya.
Raja Mswati III dikenali dengan amalan poligami dan dua daripada 14 isterinya dipilih oleh kerajaan.
Sebagai tindakan yang tidak pernah berlaku di Swaziland, sebuah akhbar Swaziland News melaporkan satu pakatan politik baharu dibentuk bagi menggulingkan Mswati III dan mengubah kerajaan menjadi demokrasi pelbagai parti.
Pakatan itu akan disertai Perhimpunan Parti Politik terdiri daripada Gerakan Demokrasi Bersatu Rakyat, Kongres Pembebasan Kebangsaan Ngwane, Parti Demokrat Swaziland, Parti Komunis Swaziland dan masyarakat madani.
Akhbar itu turut mengadakan siaran akhbar yang ditandatangani Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Swaziland, Mduduzi Gina dan mengajak rakyat negara itu untuk mengadakan demonstrasi bagi menghantar petisyen kepada Perdana Menteri, Ambrose Mandvulo Dlamini.
Program Makanan Dunia menganggarkan 63 peratus penduduk negara ini hidup di bawah garis kemiskinan dan lebih daripada seperempat orang yang berumur antara 15 hingga 49 tahun dipercayai dihidapi HIV.
Pada tahun lalu, United Kingdom menyediakan kira-kira £300,000 (RM1.375 juta) dan pada 2017, Britain turut menyediakan £6.8 juta (RM31.15 juta) sejak 1997 sebagai bantuan asing ke negara itu bagi membantu rakyatnya yang mengalami kesusahan.
Laporan itu mencetuskan kemarahan di negara Afrika itu yang majoriti penduduknya berpendapatan rendah.
Pendapatan purata tahunan penduduk Swaziland kira-kira £10,000 (RM53,396), bermakna seorang pekerja biasa perlu bekerja selama 70 tahun untuk membeli sebuah sebuah Rolls-Royce. - Kitareporters.com