Kampus & Pendidikan 12 Feb, 2024

Yayasan Maghfirah angkat martabat bangsa melalui pendidikan! Bakal tubuh Pusat Latihan dan Dakwah!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023.

Share this



PENDIDIKAN adalah keperluan yang penting dalam kehidupan dan penyelesaian kepada segala masalah kerana tanpa ilmu, sesuatu negara itu akan terus ketinggalan, dijajah pemikiran dan sukar mencapai kemajuan. 

Dalam era ledakan teknologi, pendidikan adalah wajib bagi setiap insan kerana jatuh bangun sesuatu bangsa ada kaitan dengan pendidikan.

Menyedari kepentingan pendidikan bagi mengangkat martabat agama, bangsa dan negara, Yayasan Maghfirah (YM) mengorak langkah lebih besar melalui projek pembangunan Pusat Latihan dan Dakwah (PLD) di Lenggeng, Negeri Sembilan dan rangkaian sekolah Maghfirah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Shuib Norudin, berkata pendidikan adalah teras terpenting YM bagi memastikan pendidikan bagi setiap insan terpelihara. Malah slogan, “Pendidikan Asas Perubahan” membuktikan betapa pentingnya pendidikan dalam pembentukan seseorang insan.


Sidang media pelancaran kempen Raikan Ramadan 1445H dan Tabung Operasi YM bersama Yayasan Maghfirah di Kajang, Selangor.


Beliau berkata, projek itu dilaksanakan bagi membangun masyarakat melalui pendidikan Islam yang syumul kerana setiap manusia berhak mendapat pendidikan asas apatah lagi ia menentukan masa depan mereka. 

"Alhamdulillah, Maahad Tahfiz Al-Maghfirah (MATAM) beroperasi sejak tahun lalu dan mulai Mac tahun ini, dua cawangan Sekolah Rendah Islam Integrasi Maghfirah (SRII Maghfirah) akan mengadakan pembelajaran penuh.

"Kami juga mensasarkan penubuhan Maghfirah International Leadership Boarding School  (MILBoS International) Malaysia bagi mengangkat martabat sekolah berpendidikan agama secara berasrama penuh mulai 2027," katanya sempena sidang media  pelancaran kempen Raikan Ramadan dan Tabung Operasi YM, Raikan Ramadan bersama Yayasan Maghfirah di Kajang, Selangor.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi YM, Siti Nor Mariam Said Abdul Malik Shah, Duta Raikan Ramadan 2024, Ustaz Dr Mohd Erfino Johari; dan Ketua Jabatan Pemasaran dan Pendanaan YM, Muhammad Nasir Hamidon.

Yayasan Maghfirah yang ditubuhkan pada 2018 di bawah Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai sebuah pertubuhan yang menjalankan usaha dakwah melalui pendidikan dan tarbiah selain mengadakan pelbagai program pendidikan percuma kepada golongan asnaf seperti Kelas Sahabat al-Quran (SAQ) iaitu pengajian al-Quran percuma kepada anak-anak asnaf.


Muhammad Shuib Norudin


Melalui Institusi Darul Maghfirah, YM menaja asrama  dan kelas tambahan kepada anak-anak pelajar Malaysia di Mesir manakala FantaSains pula mengadakan kelas tambahan sains secara percuma kepada anak-anak asnaf.

"Kami mempunyai wawasan besar dan melihat ke hadapan bagi melahirkan masyarakat pendakwah yang berwibawa melalui pendidikan yang syumul dan berintegrasi, sesuai dengan objektif penubuhan YM.

"Selepas lebih empat tahun beroperasi, Yayasan Maghfirah ingin mengorak langkah lebih ke hadapan melalui penubuhan sebuah pusat dakwah yang bukan sahaja melahirkan huffaz yang menghafal 30 juzuk Quran tapi modal insan yang berguna untuk setiap lapis masyarakat, dari sudut agamawi dan duniawi," katanya.

Pusat Latihan dan Dakwah ini, katanya akan melatih pekerja, sukarelawan, guru mengaji, pembimbing remaja serta murrabi yang berguna untuk setiap lapisan masyarakat, menjadi pusat rekreasi, tempat mesyuarat, retreat, kem kepimpinan dan program-program pembinaan anak-anak SAQ serta latihan kesukarelawanan selain program pendidikan bagi meningkatkan kefahaman Islam dalam masyarakat. 

Beliau berharap melalui derma orang ramai, ia akan membantu PLD Yayasan Maghfirah memiliki fasiliti seperti pejabat pengurusan, surau, dewan terbuka dan tertutup, chalet, dewan makan dan bangunan akademik yang boleh memuatkan 500 pelajar.

"Pusat Latihan dan Dakwah juga bakal mempunyai kolam ikan, kolam renang, trek larian, tapak perkhemahan dan kemudahan sukan seperti padang bola, futsal, gelanggang badminton, bola jaring dan bola tampar," katanya.


Sebahagian wakil media yang hadir sempena pelancaran kempen Raikan Ramadan dan Tabung Operasi YM, Raikan Ramadan bersama Yayasan Maghfirah di Kajang, Selangor.


Sementara itu, Siti Nor Mariam berkata, MILBoS Malaysia yang bakal beroperasi tiga tahun lagi menggunakan konsep pendidikan hati ala Rasulullah yang fokus pada potensi dan karakteristik individu. Penerapan sunah-sunah Nabi SAW dalam rutin harian pelajar bagi membentuk keperibadian yang baik, kecerdasan akal dan mampu hidup berdikari.

"Sekolah asrama penuh itu akan menggunakan konsep pendidikan seperti saudara kami di Maghfirah Islamic Boarding School Bogor, Indonesia. Insya-Allah, MILBoS Malaysia bakal beroperasi pada 2027," katanya. 

"Di MILBoS Malaysia, pelajar akan dibimbing oleh ustaz dan ustazah yang profesional dari mereka bangun tidur sampai tidur kembali. Selain itu, persekitaran yang kondusif mampu membentuk keperibadian, karakter, dan mental anak bagi mempersiapkan mereka dengan pelbagai pancaroba di masa depan," katanya.

Di MILBoS juga, seorang guru akan membimbing enam siswa bagi membolehkan hubungan kedua-duanya lebih akrab dan penggunaan bahasa Arab dalam pendidikan menjadikan mereka cakna penggunaan bahasa al-Quran dalam kehidupan harian selain bahasa Melayu dan Inggeris.

"Di sekolah asrama penuh ini, pelajar akan mengikuti konsep pendidikan bukan sekadar dalam kelas tapi YM mahu membangunkan mereka menjadi individu yang berbakat dengan menawarkan pelbagai kegiatan tambahan seperti berkuda, memanah, futsal, sukan badminton, bola jaring dan robotik.

"Ini adalah kesempatan bagi siswa-siswa kami untuk berkembang dalam berbagai bidang minat mereka, sambil tetap berfokus pada pendidikan berkualiti tinggi," katanya lagi.

Semua perancangan pendidikan ini akan memberi nilai tambah kepada usaha mencambah dunia pendidikan tempatan supaya setanding dengan apa yang ada di luar negara. 

Namun, Siti Nor Mariam mengakui usaha YM tidak akan berjaya tanpa sokongan dan sumbangan berterusan daripada masyarakat. Justeru, beliau mengajak rakyat Malaysia terus menyumbang melalui akaun Maybank 5622 6355 2802. - KitaReporters


Siti Nor Mariam Said Abdul Malik Shah

19
17
0
16
0
You will be interested