Seni & Sukan 20 Nov, 2024

Terima padahnya! FAM tak pilih bulu!! Arif dan Tommy digantung 3 perlawanan! Menumbuk dan menanduk!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

ARIF Aiman Hanapi (tiga dari kiri) bergelut dengan Tommy Mawat Bada dalam perlawanan Liga Super 2024-2025 Perak FC dan JDT FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puter, Johor, 10 November 2024 lalu. Berbaju kelabu ialah Razlan Joffri Ali.


TIADA siapa yang boleh terlepas atau melangkaui undang-undang sekiranya sudah jelas terbukti dia menyalahinya menurut kaca mata dan pertimbangan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sama ada dia bintang Harimau Malaya atau pernah mewakili Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia, undang-undang tidak mengenalinya lantas hukuman yang setimpal dan saksama tetap dijatuhkan dan wajar dijadikan pengajaran dan agar salah lakunya tidak diulangi.  

Sayap kanan kebangsaan, Arif Aiman Hanapi menanggung padah gara-gara menumbuk kiri muka pemain Perak FC yang juga bekas pemain B-23 negara, Tommy Mawat Bada pada perlawanan Liga Super 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 November 2024 lalu.

Arif, 22, ketika insiden itu mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang bertukar sebagai pelawat kepada pasukan Tommy, Perak FC dengan Sang Harimau Selatan yang juga juara bertahan, menang besar 5-0.

Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021, 2022 dan 2023 itu digantung tiga perlawanan mulai pusingan pertama timbal balik Piala Malaysia 2024-2025 dengan Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November 2024 serta menentang Kuala Lumpur City FC dalam Liga Super 2024-2025 pada 8 Disember 2024.

Tommy, 29, juga digantung tiga perlawanan dalam pusingan sama Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November 2024 serta dengan Kedah Darul Aman FC dalam Liga Super, 4 Disember 2024 atas kesalahan menanduk kepala dan mencengkam kiri leher Arif.


BALJIT SINGH SIDHU. - Kredit foto: FAM


“Mereka didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan permainan adil selain diberi amaran keras akan dihukum dengan lebih berat jika mengulanginya.

“Namun (begitu), keputusan ini masih boleh dirayu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dalam siaran media FAM pada 19 November 2024.

Sehari selepas insiden pada minit ke-38 perlawanan itu pada 11 November 2024, pemilik JDT FC, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui dalam laman sosialnya, Arif dan Tommy wajar dibuang padang oleh pengadil, Razlan Joffri Ali.

Pada 15 November 2024 pula, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk S. Siva Sundaram memberitahu, Razlan Joffri Ali dan pengadil sistem Video Bantuan Pengadil (VAR), Ahmad Zuhadi Dzulkifli direhatkan daripada tugas pengadilan dalam dua perlawanan liga profesional dan amatur. 

Tindakan drastik tersebut ekoran insiden Arif-Tommy dan terjahan bek tengah JDT FC, Feroz Baharudin terhadap Clayton Silveira yang tidak disusuli sepakan penalti untuk Sang Seladang.


PEMAIN-PEMAIN JDT FC (jersi biru gelap) dan Perak FC cuba meleraikan pergaduhan Arif Aiman Hanapi dan Tommy Mawat Bada sambil Razlan Joffri Ali (kiri) hanya mengenakan kad kuning dan bukannya merah kepada kedua-dua pemain itu. 


Arif pada 16 November 2024 lalu atas permohonan luar biasa JDT FC, dilepaskan daripada siri perlawanan antarabangsa tahap 1 Malaysia menentang India di Stadium Gachibowli, Hyderabad yang berkesudahan seri 1-1, 18 November 2024.

FAM pada mulanya menyebut, alasan pelepasan itu sebagai persediaan JDT FC berdepan KL Rovers dalam Piala Malaysia kerana hari perlawanannya, 20 November 2024 bertembung dengan hari kepulangan pasukan negara.  

Ketua Pegawai Eksekutif JDT FC, Alistair Edwards dalam laman sosial kelab beberapa jam kemudian sebaliknya memberikan alasan perancangan perjalanan menjelang kempen Liga Juara AFC Elit (ACLE) 2024-2025 menentang Shandong Taishan di Pusat Sukan Olimpik, Jinan, China pada 26 November 2024. - KitaReporters


AKSI Arif Aiman Hanapi (42) dalam perlawanan Perak FC-JDT FC di 'kandang' Harimau Selatan yang diletakkan sebagai pelawat kerana masalah padang di stadium lawan. - Kredit foto: PFC 


TOMMY Mawat Bada, sayap kiri Perak FC yang pernah menyarung jersi B-23 Malaysia pada 2017 hingga 2018. - Kredit foto: PFC

 

13
15
0
12
0
You will be interested