Seni & Sukan 16 Oct, 2024

Opah Ngomel| Video| Magis dan terpukau! Dibawa berlayar naik kapal Teater Muzikal Puteri Hang Li Po!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this



OPAH masih tertanya-tanya adakah susur galur Puteri Hang Li Po, anak maharaja Negara China yang dihantar ke Melaka masih wujud lagi tak sekarang? Persoalan itu menerpa fikiran apabila menyaksikan pementasan mega Teater Muzikal Puteri Hang Li Po (TMPHLP), di Encore Melaka Theatre dari 3 hingga 6 Oktober 2024.

Teater itu berkisar persahabatan dua negara dan selingan kisah cinta tiga segi yang berakhir dengan Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sultan Mansur Shah (bertakhta kerajaan tahun 1459–1477 M). 

Malah semua dayang dan askar perang yang ikut rombongan itu ada menetap di Melaka dan kemungkinan besar berkahwin dengan pembesar atau rakyat jelata yang melahirkan generasi peranakan Nyonya dan Baba.

Sebelum ini, warga Singapura dikatakan mengesan asal usul peranakan itu berkait langsung dengan peristiwa jalinan hubungan tanah besar China dan Melaka pada abad ke-15 yang dikatakan pedagang Cina itu berkahwin dengan penduduk tempatan dan mewujudkan suku peranakan.


Beta dengar Melaka negara berdaulat, China perlu menjalin persahabatan dengan negara makmur itu. Segera hantarkan hadiah kepada Sultan Melaka.


Permaisuri memujuk Puteri Hang Li Po patuh arahan maharaja untuk dihantar ke Melaka.


Kisah cinta tiga segi antara panglima kapal perang China, Laksmana Meng You @ Zheng He di zaman pemerintahan Dinasti Ming yang mengiringi Hang Li Po selepas puteri itu dipilih oleh maharaja sebagai penyatuan darah daging dengan kesultanan Melaka yang berdaulat. 

China iktiraf Melaka berdaulat sebagai satu strategi perniagaan kerana ketika itu Melaka adalah pusat persinggahan dan pembekalan kapal bagi penggembara kapal laut .

Mungkin untuk menjadikan cerita cinta yang menarik, Hang Li Po ada mengajak Zheng He, yang juga dikenali sebagai Cheng Ho lari tetapi lelaki itu tunduk kepada arahan maharaja. Dia bukan saja setia kepada negara malah katanya, jika dia mengikut kata puteri itu, nyawa diri dan keluarganya menjadi taruhan.

"Demi setiaku pada maharaja, cinta dan nyawaku menjadi taruhan. Kita hanya mampu bercinta dan berkasih sayang tetapi tidak mampu memiliki satu sama lain kerana pengorbanan pada negara lebih mulia daripada cinta," kata Cheng Ho ketika mereka beradu asmara di dalam kapal sepanjang perjalanan ke Melaka.


Hang Li Po menangis mendapat tahu dia akan dihantar ke Melaka.


Pengalamanlah bagi Opah untuk menyaksikan teater stylist ni, bila platform penonton berputar 360 darjah, kekuatan pementasan kali ini turut diperkuat dengan idea tenaga kreatif Istana Budaya dengan membawa teknologi mapping bagi menambahkan unsur kekaguman dalam jalan ceritanya. 

Opah rasa "pening" sebab ingatkan kerusi kami yang berpusing rupa-rupanya pentas di depan. Patutlah ada satu babak itu, pelawaknya seolah berlarian.

Rekaan dan binaan set kapal pelayaran dalam babak pelayaran Tun Perpatih Putih dengan skala sebenar menakjubkan. 

Yang menghidupkan watak mak dayang ialah pelakon Amyza Adnan dan Louisa Chong yang berbalas pantun ala-ala gaya baba dan nyonya. Ini membuatkan penonton tak lekang dengan gelak ketawa dan bertepuk tangan sebagai penghargaan walaupun ada ketika itu berlaku kesilapan teknikal.

Selain itu, pelakon turut merasai kehebatan berlakon dengan penggunaan sistem fly pentas bagi

menambahkan nilai artistik dalam persembahan. 

Gabungan tradisi dan inovasi dalam persembahan pentas, TMPHLP ini pasti meninggalkan kesan magis yang memukau.


Kita hanya boleh bercinta tapi tidak boleh memiliki satu sama lain.


Berkorban cinta demi negara.


Teater selama tiga jam itu menggunakan bahasa Melayu dan Cina dipentaskan sempena meraikan sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China yang direalisasikan melalui gerbang kesenian dan kebudayaan.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar menyatakan, “Istana Budaya selaku penyedia venue dan dinobatkan sebagai ‘Best Cultural & Performing Arts Venue’ pada Anugerah Industri Pelancongan (TIA) 2024, menyifatkan pementasan TMPHLP ini sebagai hadiah terbaik kepada pencinta seni tanah air yang sentiasa menyokong Istana Budaya sehingga ke hari ini.”

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberikan kepercayaan kepada Istana Budaya untuk menggalas ‘big project’ serta ‘to mark the celebration’ dengan penuh tanggungjawab serta membuktikan kepakaran tenaga kreatif Istana Budaya yang mampu menghasilkan persembahan berskala cemerlang dan bertaraf antarabangsa.” ujarnya lagi.


Mak dayang Melaka dan China beraksi sangat menceriakan penonton.


Seramai 262 orang tenaga produksi terdiri dari dua sektor iaitu Sektor Operasi dan Sektor Artistik yang terlibat secara keseluruhan serta melibatkan gabungan tiga produk utama Istana Budaya iaitu Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Artis Tari Istana Budaya (Artistana).

Setelah dua dekad, TMPHLP pertama yang dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya pada tahun 2004 dan siri jelajah pada 2005 yang lalu, teater muzikal ini kembali dengan penghasilan yang lebih segar dan ditambah baik dengan menitikberatkan hasil kualiti yang optimum, mengambil kira aspek jalan cerita, barisan pelakon, lagu, kostum, sinografi serta teknologi pentas.


Haaa... masak kangkung jangan dipotong?


Opah berkhayal seketika apabila dibawa "berlayar" di kapal besar itu yang merentas lautan  yang diwarnai dengan koreografi tarian yang lebih segar dan bertenaga mengikut babak ke babak. 

Dari Istana Maharaja Ming mereka merangka perjalanan untuk ke Melaka dengan membawa berpuluh-puluh kotak jarum. Tapi kenapa jarum?.

Kata Cheng Ho, jarum itu hadiah dari setiap rumah dan bayangkan betapa ramainya penduduk China.

Orang Melaka lagi bijak meminta tukang masak maharaja Cina itu jangan dipotong kangkongnya. Jadi bila kangkong itu panjang, mereka kena angkat muka dan dapatkan lihat rupa paras maharaja. Kalau tidak, rakyat akan dipancung jika melihat wajah maharaja itu.

Usaha merapatkan hubungan ketika itu dilakukan oleh Bendahara Tun Perpatih Putih sebagai dutanya ke China dengan membawa surat Sultan kepada Maharaja Ming. 

Surat ini meminang anak perempuan Maharaja dan pada tahun 1459, seorang puteri, (Hang Li Po atau Hang Liu), dihantar ke Melaka sebagai isteri Sultan Melaka. 

Puteri tiba dengan 500 orang anak lelaki menteri dan beberapa ratus pengasuh dan pembantu. Mereka kemudiannya tinggal di Bukit Cina, Melaka. 

Hari ini, ramai orang percaya bahawa Laksamana Zheng He, beragama Islam (yang meninggal dunia pada tahun 1433) yang menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka pada tahun 1459. 

Bagaimanapun, tidak ada catatan berkaitan Hang Li Po (atau Hang Liu) dalam pensejarahan Ming. Beliau disebut hanya dalam Sejarah Melayu.



Persembahan muzikal ini masih mengekalkan dua lagu asal hasil ciptaan Allahyarham Pak Ngah iaitu Walau Badai dan Orang Melaka Merewang. 

Terdapat juga 32 buah karya lagu baharu dicipta sebagai tambahan nyanyian dalam lakonan, tarian dan melodi iringan. Antaranya Cinta Rahsia Li Po, Instrumental Panji, Maharaja, Instrumental Kaligrafi, Semangat Ming You, Selancang, Jarum, Instrumental Tari Inang Istana, Pelayaran Tun Perpatih Putih, Tanah Besar China, Sepilu Sagu, Sayur Kangkung, Seloka Bersenda, Titah Memaksa, Melaka Terbilang, Kain Sarong, Dua Dunia dan banyak lagi.

Kesemua lagu dimainkan secara langsung dengan gabungan seramai 60 orang pemuzik terdiri daripada OTM, OSK serta 2 orang pemuzik jemputan dari China yang akan bermain alat muzik “Er Hu” dan “Pipa”. 

Orkestra ini diketuai Mohd Yazid Zakaria selaku Pengarah Muzik/Konduktor.


Laksmana Cheng Ho hantarkan "kekasihnya" Hang Li Po kepada Sultan Melaka.


Cinta tiga segi Puteri Hang Li Po, Nahkota Meng You @ Cheng Ho dan akhirnya kebaikan rakyat Melaka membuatkan puteri jatuh cinta dengan Sultan Melaka.


Penghasilan rekaan kostum dan kostum menggantikan kostum yang lama adalah antara salah satu faktor istimewa bagi persembahan ini. Hampir 100 set rekaan kostum baharu direka dan sebanyak 264 pasang kostum telah  dihasilkan bagi keperluan sepanjang persembahan berlangsung. 

Pereka kostum daripada pasukan artistik Istana Budaya mengambil masa hampir tiga (3) bulan untuk melaksanakan proses pembuatan yang melibatkan proses kajian, rekaan, perolehan, pencarian bahan mentah dan proses jahitan kostum dengan mengambil kira aliran kostum  pada zaman Dinasti Ming. 

Pementasan Teater Muzikal Puteri Hang Li Po ini merupakan karya asal Zahari diadaptasi daripada kisah sejarah bukan sekadar hiburan tetapi memberi pendidikan secara tidak langsung tentang sejarah hubungan Tanah Besar China dan Melaka Berdaulat. - KitaReporters


Teater Muzikal Puteri Hang Li Po berjaya memikat perhatian ramai penontonnya.

11
4
0
10
0
You will be interested