Adab menaiki kenderaan awam di Malaysia boleh dikatakan semakin baik. Hasil positif ini adalah kesan daripada kempen-kempen dan pembelajaran yang dilakukan sejak bangku sekolah lagi.
Walaupun masih
ada segelintir bersikap primitif terutama apabila penumpang bukan sahaja
terdiri daripada warga Malaysia, tetapi juga warga asing yang berbeza perangai
dan mentaliti.
Lihat sahaja bagaimana penumpang beratur saat mahu memasuki LRT atau MRT walaupun ketika waktu puncak. Mereka kurang berebut untuk masuk atau keluar.
Namun, bolehkah kita samakan dengan situasi penumpang di dalam pesawat penerbangan?
Kalau anda pernah atau biasa naik kapal terbang sama ada untuk tujuan melancong, perniagaan atau kerja, pasti anda perasan saat pesawat mendarat, ramai penumpang bertindak terburu-buru untuk turun.
Kenapa ini terjadi? Adakah mereka tidak sabar atau berperangai primitif?
Jangan mudah menghukum kerana ada sebab mengapa mereka bertindak sedemikian. Inilah yang cuba dijelaskan oleh seorang pengguna TikTok berkenaan hal tersebut.
Tidak dapat dipastikan sama ada dia seorang pengembara atau ejen syarikat pelancongan. Namun yang pasti, dia berpengalaman menaiki kapal terbang.
Dalam hantaran
tersebut, dia meminta orang ramai bersabar apabila melihat penumpang
terburu-buru keluar dari pesawat yang baru mendarat.
“Tahu ia
menjengkelkan tapi cubalah faham,” tulisnya ringkas.
Selain itu, juga dia menjelaskan sebab kenapa ada penumpang yang bersikap sedemikian.
Menurutnya ada dua sebab hal itu terjadi. Pertama, kerana mahu pastikan bagasi mereka tidak hilang. Banyak kes berlaku bagasi hilang dan dicuri.
Manakala sebab kedua pula ialah connecting flight. Ia merupakan proses penggantian pesawat atau menggunakan syarikat penerbangan lain dalam satu penerbangan transit. Justeru, mereka perlu pantas agar tidak ketinggalan.
Dia juga menyeru agar penumpang lain memberi laluan sekiranya nampak penumpang yang terburu-buru. Bak kata orang, kita mudahkan urusan orang lain, insya-Allah satu hari nanti urusan kita pula dipermudahkan.
Perkongsian ini turut
mendapat reaksi netizen. Seperti biasa, ada yang setuju dan sebaliknya.
“Pasal connecting, ya. Tapi yang lain alasan je tu,” tulis salah seorang netizen.
Manakala seorang
lagi netizen memberi alasan berbeza yang ada logiknya. Menurutnya sekiranya
seseorang itu ada anxiety atau mudah panik,
mereka memang akan bertindak terburu-buru keluar sebaik sahaja pesawat
mendarat.
“Satu lagi, ada orang dia memang anxiety, panik, serabut apabila duduk lama dalam flight kerana pergerakan terbatas dalam ruang bertutup.
"Mereka nak cepat keluar dan rasa tak bernafas. Apabila keluar sahaja pintu pesawat terus rasa tenang dan lega,” tulisnya.
Selain itu, pelbagai lagi alasan yang dikongsi berdasarkan pengalaman masing-masing.
Sekiranya anda tiada hal yang penting, berilah laluan kepada mereka yang memerlukan. Tak rugipun kalau kita bertolak ansur. - KitaReporters