Politik & Negara 17 Oct, 2025

Malaysia tidak berdiam diri! Terus rancang dan selaraskan bantuan segera kemanusiaan ke Gaza! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Walaupun tidak dijemput untuk menghadiri sidang kemuncak gencatan senjata Gaza di Mesir ekoran pendirian negara mahukan penyelesaian menyeluruh, Malaysia tidak berdiam diri.



Sebaliknya, negara ini terus menggerakkan perancangan serta penyediaan untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin ekoran persetujuan-persetujuan yang terkandung dalam perjanjian gencatan senjata tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, susulan perkembangan terkini di Palestin, beliua bersama rangkaian masyarakat sivil Malaysia yang menggerakkan Ops Ihsan dan Sumud Nusantara telah bertemu pada Khamis, 16 Oktober 2025 bagi menyelaras tindakan segera menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.




Terdahulu, mengikut laporan antarabangsa, sidang kemuncak gencatan senjata Gaza di Sharm el-Sheikh, Mesir pada 13 Oktober 2025 dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perjanjian gencatan senjata ini dimeterai dengan pengantaraan Amerika Syarikat, Mesir, Qatar dan Turkiye, dengan antara lain melibatkan pertukaran tahanan besar-besaran.

Selepas menelitinya, Malaysia mendapati pelan damai 22 butiran AS tersebut tidak menyentuh soal hak rakyat Palestin, kedaulatan negara mereka, mahupun instrumen pendudukan (occupation) yang masih berterusan. 

Menurut Perdana Menteri, pelan bantuan dari Malaysia mesti dikoordinasi dengan teliti dan berkesan agar setiap bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

"Dengan kebijaksanaan, kecekapan dan semangat solidariti yang kita tunjukkan, saya yakin usaha ini akan membantu meringankan penderitaan saudara-saudara kita di Gaza dan menjadi lambang keprihatinan serta kemanusiaan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
20
0
11
0
You will be interested