Majlis Belia Malaysia (MBM) menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab mengenai isu penjualan stokin tertera kalimah Allah serta penekanan agar isu ini tidak berulang lagi.
Dalam kemajmukan kaum dan agama di Malaysia, penting untuk diingat bahawa setiap agama mempunyai batasan masing-masing dan bagi umat Islam, penggunaan dan penghormatan terhadap kalimah Allah adalah suatu kewajipan yang tertinggi.
Maka, kemurkaan Yang di-Pertuan Agong menjadi isyarat jelas bagaimana polemik isu kalimah Allah ini tidak boleh dipandang sebelah mata dan dibiarkan begitu sahaja tanpa mempertanggungjawab pihak yang terlibat apatah lagi pada kala umat Islam di seluruh negara sedang menjalani ibadah puasa.
Tiada kompromi boleh diberikan kepada pihak yang mempermain perkara berkaitan agama, bangsa atau raja (3R) tanpa mengira pihak manapun.
MBM memandang serius perkara ini, kerana jika ia tidak diselesaikan dengan adil dan baik, ia akan mampu mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang melampau.
Oleh hal itu, pihak yang didapati bertanggungjawab mencetuskan polemik ini harus dibawa kemuka pengadilan dan dihukum.
Melihat kepada lipatan sejarah di Malaysia yang telah banyak menyaksikan isu sensitiviti agama ini terjadi, MBM ingin mengingatkan semua pihak wajar mengambil iktibar tentang apa yang terjadi dan meletakkan isu sensitiviti agama pada tahap yang tertinggi tidak kira dalam apa perkara sekalipun.
Oleh itu, MBM sekali lagi menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor manakala semua pihak harus memberikan ruang sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh ke atas pihak yang bertanggungjawab dalam isu ini.
Mohd Izzat Afifi Abd Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)