Sambutan Hari Malaysia 2025 yang bertemakan 'Malaysia Madani, Rakyat Disantuni' akan diadakan di Penang International Convention, Cultural & Arts Centre (Pusat Konvensyen, kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa Pulau Pinang atau PICCA) @ Butterworth Arena, Butterworth pada Selasa 16 September 2025 penuh dengan pelbagai pengisian menarik. Program telah disediakan seawal 9 pagi sehinggalah ke malam.

Detik bersejarah ialah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Antara program yang telah disusun atur bagi semua peringkat umur ialah pameran kenegaraan, pameran dari pelbagai agensi kerajaan, pertandingan mewarna keluarga serta food truck dengan pelbagai juadah pilihan.
Selain itu banyak lagi aktiviti lain yang disediakan termasuklah cabutan bertuah,persembahan khas kebudayaan, persembahan pentas oleh artis-artis popular dan kemuncaknya ialah pertunjukan bunga api yang pasti mengagumkan.
Pertunjukan bunga api kali ini adalah sama seperti mana yang diadakan di Putrajaya yang ditaja sepenuhnya oleh rakan strategik Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Bagi memudahkan pengguna feri pula, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang telah mengumumkan perkhidmatan feri percuma kepada warganegara Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia pada 15 dan 16 September. Hanya pamerkan Mykad atau Mykid semasa berurusan di kaunter feri.
Manakala syarikat penerbangan rendah AirAsia tidak mahu ketinggalan dengan menawarkan promosi tawaran harga bermula RM57 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke beberapa lokasi.
Sementara itu, sebanyak 10 bas Rapid Penang akan disediakan dari beberapa lokasi. Rapid Penang On-Demand zon Sunway (T710B) turut mengadakan promosi harga RM1.00 untuk ke PICCA Butterworth Arena.
Ayuh! Sertai kemeriahan sambutan Hari Malaysia. Raikan perpaduan, keharmonian dan semangat cintakan tanah air di Pulau Mutiara. - KitaReporters

Ayuh ramai-ramai! Jom pi PICCA Convention Centre, Butterworth Arena pada 16 September sambut Hari Malaysia.