Biarpun Mat Sentol sudah lama menyepi namun tetap ada yang masih mengingati dan menghargai beliau.
Pada 3 Disember 2023 lalu, Majlis Konvokesyen ke-24 Universiti Multimedia (MMU) mencipta kelainan apabila menganugerahkan Anugerah Kehormat Permata Dunia kepada artis veteran yang banyak berjaga dalam bidang seni iaitu Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abd. Rasip Yahya, 90.
"Kami sekeluarga terharu dan berterima kasih kerana masih ada yang mengingati datuk saya." Demikian kata cucu Mat Sentul, Ain Akashah Rosarif, 26, yang mewakili datuknya untuk menerima anugerah berkenaan di Dewan Tun Canselor.
MMU menganugerahkan Anugerah Kehormat Permata Dunia kepada pelakon legenda Mat Sentol sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang kreatif dan senimatik negara sejak era 1950-an.
Mat Sentul yang juga dikenali dengan watak Mat Bond bagaimanapun tidak dapat hadir untuk menerima anugerah itu akibat keuzuran dan masalah kesihatan.
Anugerah itu diserahkan kepada Ain Akashah oleh Pro Canselor MMU, Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid pada istiadat konvokesyen itu.
Ain Akashah ketika ditemui berkata, beliau berbangga di atas anugerah diterima datuknya itu kerana ia satu pengiktirafan yang tinggi.
Ain memberitahu, dia terkejut apabila dihubungi bapa saudara, Roslee Rashid, 61, yang menetap di Johor pada Selasa, 28 November 2023 lalu yang memintanya mewakili keluarga untuk menerima anugerah itu bagi pihak datuk.
Katanya, dia terharu kerana masih ada pihak yang menghargai usaha datuknya dalam bidang seni walaupun sudah tidak aktif dalam bidang seni.
“Terima kasih MMU atas penganugerahan ini sekali gus menjadi kenangan buat kami sekeluarga terutama dalam mengenang usaha dan kegigihan datuk sepanjang terbabit dalam bidang seni,” katanya yang pernah berlakon dalam iklan, antaranya Tora dan Dendang Datang Lagi.
Dia turut mengakui sangat rapat dengan datuknya, malah sering bertukar pendapat mengenai seni dan kerjaya selain menggalakkannya supaya menceburi bidang seni jika mahu hidup senang.
Mat Sentol dikenali ramai atas daya kreativitinya menghasilkan beberapa filem seperti Mat Bond dan Mat Magic walaupun ketika itu tiada teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) seperti hari ini.
Mat Sentol juga adalah seangkatan dengan Allahyarham Wahid Satay, malah sempat membintangi beberapa filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.
Tidak hanya itu, seniman berkaliber tanah air ini juga turut aktif menyumbangkan suaranya dalam penyiaran iklan televisyen dan radio seperti Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo. - KitaReporters/MMU