Dalam beberapa minggu ini, perhatian dunia tertumpu kepada misi berani antaranya Global Sumud Flotilla (GSF). Kisah-kisah keberanian aktivis termasuk sukarelawan Malaysia yang menempuh risiko demi membawa bantuan kemanusiaan telah menghiasi media dalam dan luar negara.

Misi flotila bukan sekadar menghantar bantuan sebaliknya ia simbol solidariti dunia terhadap rakyat Palestin.
Walaupun 23 aktivis Malaysia gagal menghantar sendiri bantuan melalui laluan laut menggunakan flotila (kapal kecil) itu selepas ditahan oleh pihak berkuasa Israel, ia adalah satu usaha dan pengorbanan besar untuk memecah tembok sekatan yang dilakukan rejim tidak berperi kemanusiaan itu sejak sekian lama.
Terbaharu, aktivis negara, Dr Fauziah Hassan bersama beberapa rakannya yang kebanyakan pegawai perubatan meneruskan misi flotilla kemanusiaan menggunakan kapal Conscience di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang belayar menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.


Pengarah Komunikasi Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Tengku Ain Tengku Abdullah, berkata ada mendakwa misi flotila ke Gaza usaha sia-sia kerana kapal sering ditahan sebelum sampai ke destinasi.
"Hakikatnya, perjuangan ini lebih daripada sekadar menghantar bantuan kerana ia simbol solidariti dunia terhadap rakyat Palestin dan mesej jelas menentang kezaliman.
"Hasil perjuangan bukan diukur pada kejayaan fizikal, tetapi kesedaran dan keberanian yang dilakukan.
"Rakyat Malaysia sepatutnya meraikan semangat solidariti ini. Namun, pastikan fokus utama tidak tergelincir, iaitu membantu rakyat Gaza dan menghentikan krisis kemanusiaan yang berlaku di sana," katanya.

Tengku Ain Tengku Abdullah.
Beliau berkata, misi-misi ini adalah pemangkin, tetapi tumpuan hakiki kita mesti kekal kepada usaha pemulihan dan kelangsungan hidup rakyat Palestin.
"Misi Flotila yang secara langsung mencabar sekatan haram ke atas Gaza menjadi peringatan tegas perihal kepungan berterusan yang menjadi punca utama penderitaan.
"Kisah aktivis-aktivis yang ditahan dan mengalami kesulitan seharusnya tidak hanya menjadi berita sensasi, tetapi semangat lebih kuat untuk bergerak ke hadapan dan bertindak," katanya.
Tengku Ain berkata, ia mengalihkan perbualan daripada sekadar "perjuangan aktivis" kepada "keperluan mendesak rakyat Gaza".

Peserta misi flotila bukan sahaja terdiri daripada umat Islam tapi turut disertai aktivis kemanusiaan di seluruh dunia.
"Kita mesti menggunakan momentum ini untuk membina naratif betul dan positif mengenai ketabahan dan bagaimana dunia boleh membantu memulihkan maruah mereka.
"Kami di MAHAR turut memberi fokus dengan misi, "Berterusan Menghulur Walau Sedikit".
"Kami berpegang kepada falsafah bahawa keberkesanan terletak pada komitmen yang berterusan, bukan hanya pada skala.
"Insya-Allah kami akan memastikan fokus utama tidak teralih, walaupun sedikit tetapi MAHAR tetap fokus dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza.
"Inilah cerminan semangat 'sumud' (ketekunan) yang menjadi tunjang kepada setiap usaha kami. Bantuan yang konsisten seperti air bersih, makanan dan ubat-ubatan bagi menjamin kelangsungan hidup dan benteng pertahanan pertama menentang kebuluran serta penyakit," katanya lagi.

Misi flotila secara langsung mahu mencabar sekatan haram Israel ke atas Gaza.
Justeru, katanya MAHAR mengajak rakyat Malaysia melabur dalam pemulihan dengan menyokong projek-projek membina semula harapan terutama inisiatif pendidikan dan perlindungan untuk anak-anak yatim dan golongan rentan demi masa depan Gaza yang lebih baik.
"Marilah kita buktikan bahawa Malaysia berdiri teguh di belakang rakyat Gaza. Jangan biarkan fokus kita beralih. Gunakan semangat GSF ini sebagai loncatan untuk tindakan yang lebih besar dan berpanjangan.
"Lakukan sekarang kerana setiap bantuan adalah langkah kehidupan. Sebarkan kesedaran dan pastikan perkongsian anda dadalm media sosial adalah mengenai krisis kemanusiaan di Gaza, bukan hanya berita-berita lain yang mungkin mengalih perhatian.
"Kongsikan kisah-kisah harapan dan keperluan pemulihan kerana Gaza berhak mendapat kehidupan yang aman dan bermaruah," katanya. - KitaReporters

Sokongan dan solidariti masyarakat dunia terhadap Palestin semakin meningkat di seluruh dunia berikutan kekejaman rejim Yahudi.