Politik & Negara 05 Dec, 2025

Atasi kesesakan! Tambah laluan RTS Link Johor Bahru-Singapura! Dijangka siap Disember 2026! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Malaysia-Singapura terus berusaha menyelesaikan masalah kesesakan di pintu sempadan antara Johor dan Singapura termasuk menambah laluan Sistem Transit Aliran (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang bakal siap Disember 2026 serta menambah baik Skim Teksi Rentas Sempadan dan perkhidmatan e-hailing.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelesaian masalah kesesakan di pintu sempadan antara Johor dan Singapura terus diberi perhatian dalam Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 pada Khamis, 4 Disember 2025.

"Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS Link) yang dijangka siap menjelang Disember tahun depan (2026) bakal mengurangkan kesesakan di Tambak Johor secara berkesan.

"Selain itu, Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara juga dalam perbincangan akhir bagi menambah baik Skim Teksi Rentas Sempadan dan perkhidmatan e-hailing bagi memenuhi keperluan rakyat kedua-dua negara dengan lebih baik," jelas beliau.



Terdahulu, Anwar dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong mengetuai delegasi masing-masing untuk membincangkan pelbagai isu dua hala secara mendalam.

Mesyuarat yang amat produktif ini, katanya, telah mencapai beberapa persetujuan bersama dan memperluas kerjasama merentasi pelbagai bidang, selain turut memperkukuh hubungan akrab Malaysia-Singapura sebagai sahabat rapat dan antara anggota pengasas ASEAN.

"Pada sidang media bersama, saya tegaskan kepentingan keyakinan dan persahabatan antara Malaysia dan Singapura dalam merealisasikan kejayaan yang menakjubkan bukan sahaja pencapaian pelaburan dan perdagangan, tetapi kerjasama yang membawa manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara.

"Saya dan PM Lawrence turut menyaksikan pertukaran MOU mengenai kerjasama kesihatan, memerangi pengedaran dadah dan perjanjian tambahan Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru–Singapura (RTS Link)," tambahnya.



Menyentuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, Anwar berkata, pelaburan perniagaan sebanyak RM17.97 bilion telah dicapai di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sejak MoU berkenaan dimeterai tahun lalu (2024). 

"Singapura juga akan membuka konsulat baharu di Kota Kinabalu dan Kuching, yang bakal memanfaatkan penduduk setempat dalam sektor ekonomi, pelancongan dan tenaga boleh baharu," kata beliau lagi.

Perdana Menteri juga rakamkan penghargaan kepada Singapura atas sumbangan terhadap Program Sukarelawan Bahasa Inggeris MY-SG (MSEVP) yang memberi tumpuan kepada golongan belia dan menggalakkan pertukaran antara rakyat serta kumpulan profesional.

"Semoga hubungan persahabatan erat antara Malaysia dan Singapura terus diperkukuh demi kebaikan rakyat kedua-dua negara," tegasnya. - KitaReporters/Kenyataan Media

6
3
0
7
0
You will be interested