Politik & Negara 26 Oct, 2025

Janji Malaysia! Pastikan ASEAN tunjang kestabilan serantau! Peneraju utama diplomasi global! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Malaysia telah memastikan ASEAN kekal sebagai tunjang kestabilan serantau, peneraju utama dalam diplomasi global dan suara berpengaruh bagi Negara-Negara Selatan (Global South).



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Pengerusi ASEAN, Malaysia tampil memimpin dengan keyakinan dan prinsip.

"Ini demi memastikan ASEAN kekal sebagai tunjang kestabilan serantau, peneraju utama dalam diplomasi global dan suara berpengaruh bagi Negara-Negara Selatan (Global South).

"Kepengerusian ini mencerminkan semangat ASEAN yang bersatu dan nilai Malaysia Madani yang menekankan keadilan dan ihsan," tegas beliau.



Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula Ahad, 26 Oktober 2025, menghimpunkan ribuan delegasi dari seluruh pelusuk rantau bagi memperkukuh kerjasama dan membina masa depan ASEAN yang lebih inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.

Sebelah pagi, Perdana Menteri telah menyambut ketibaan pimpinan negara anggota ASEAN termasuk Timor Leste serta para Tetamu Pengerusi iaitu Brazil, Afrika Selatan, Kanada, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah.

"Malaysia akan terus memimpin dengan tekad memperkukuh perpaduan serantau, memperkasa rakyat dan membina Asia Tenggara yang aman, makmur serta berdaya tahan untuk generasi mendatang.

"Dan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia beriltizam untuk memperkukuh perpaduan serantau, memperbaharui semangat kerjasama, meluaskan tumpuan dan persahabatan serta memastikan pertumbuhan yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan seluruh ASEAN.," ujarnya.



Pada sidang kemuncak ASEAN itu para pemimpin ASEAN dan Tetamu Pengerusi telah menyaksikan detik bersejarah tatkala Timor-Leste diterima dan diangkat secara rasmi sebagai anggota ke-11 ASEAN.

Menurut Anwar, detik bersejarah ini ternyata merangkul semangat kebersamaan dan peluasan keluarga besar ASEAN yang majmuk dan rencam budaya atas semangat kecintaan dan perpaduan yang utuh. 

"Ia bukan sekadar peristiwa diplomatik, tetapi manifestasi kekuatan perpaduan dan tekad bersama untuk terus membina rantau yang aman, makmur dan berdaya saing.

"Ia tentunya membuka jaringan yang lebih luas buat negara anggota baharu Timor-Leste untuk menyemarak kemakmuran, dan ia bukan lagi sekadar satu babak dalam sejarah diplomasi rantau ini, tetapi turut menjadi antara pencapaian terbesar ASEAN setakat ini," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
11
0
11
0
You will be interested