.
Antara bantuan kecemasan terbesar Islamic Relief di Gaza ialah agihan makanan panas kepada penduduk terjejas.
Islamic Relief bersama lebih 100 organisasi menyuarakan amaran, mendesak agar bantuan bagi menyelamatkan nyawa dibenarkan masuk.
Ketika kerajaan Israel terus mengenakan kepungan yang membuat rakyat Gaza kebuluran, para petugas kemanusiaan kini terpaksa beratur bersama orang awam demi mendapatkan secebis makanan dengan risiko ditembak, hanya untuk mengisi perut ahli keluarga mereka.
Dengan bekalan yang kini habis sepenuhnya, organisasi kemanusiaan hanya mampu menyaksikan sendiri tubuh badan kakitangan dan rakan-rakan kemanusiaan mereka semakin susut dan lemah di depan mata, tanpa mampu berbuat apa-apa.
Genap dua bulan sejak pelaksanaan skim bantuan Gaza Humanitarian Foundation yang dikawal oleh Israel, lebih 100 organisasi tampil membunyikan amaran, menggesa kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk bertindak bagi membuka semua laluan darat, memulihkan sepenuhnya aliran bekalan makanan, air bersih, ubat-ubatan, keperluan tempat tinggal dan bahan api melalui mekanisme berprinsip yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus menghentikan kepungan, dan mencapai persetujuan segera untuk gencatan senjata.
“Setiap pagi, soalan sama bergema di setiap ruang udara Gaza; apa yang saya akan makan hari ini?” kata salah seorang wakil sebuah agensi.

Kanak-kanak di Gaza kini berdepan ancaman malnutrisi.
Pembunuhan beramai-ramai di lokasi pengagihan makanan di Gaza kini berlaku hampir setiap hari.
Sehingga 13 Julai, PBB mengesahkan seramai 875 rakyat Palestin telah terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan di mana 201 orang terkorban di laluan bantuan dan selebihnya di tempat pengagihan, manakala ribuan lagi cedera.
Dalam masa yang sama, tentera Israel telah mengusir hampir dua juta rakyat Palestin yang sudah pun keletihan, dengan arahan perpindahan besar-besaran terbaharu, dikeluarkan pada 20 Julai 2025 yang memaksa mereka berhimpit di kawasan yang kurang daripada 12 peratus keluasan Gaza.
Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa situasi semasa menjadikan operasi bantuan tidak lagi dapat dijalankan.
Menjadikan kebuluran sebagai senjata perang terhadap orang awam adalah satu jenayah perang!
Bukan hanya di luar Gaza, bahkan di dalam wilayah itu sendiri, bertan-tan makanan, air bersih, ubat-ubatan, keperluan tempat tinggal dan bahan api terus terbiar di gudang tanpa dapat diusik, apatah lagi disalurkan, apabila organisasi kemanusiaan dihalang daripada mengakses atau menghantarnya kepada mereka yang sangat memerlukan.
Sekatan kejam, kelewatan yang disengajakan, dan perpecahan sistem di bawah kepungan total Israel telah menjerumuskan Gaza ke dalam kancah kekacauan, kelaparan dan kematian.
Seorang petugas bantuan yang memberikan sokongan psikososial berkongsi kesan yang menyayat hati terhadap kanak-kanak memberitahu, “anak-anak berkata kepada ibu bapa mereka bahawa mereka mahu ke syurga, kerana di syurga, sekurang-kurangnya ada makanan.”

Doktor kini melaporkan peningkatan mendadak kes kekurangan zat makanan akut terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.
Penyakit seperti cirit-birit berair mula merebak tanpa kawalan, pasar-pasar kosong tanpa bekalan, sampah sarap menimbun, dan orang dewasa rebah di jalanan akibat kelaparan dan dehidrasi.
Agihan bantuan di Gaza kini hanya mencecah purata 28 buah trak sehari, jauh daripada mencukupi untuk lebih dua juta penduduk. Ramai antara mereka sudah berminggu-minggu tidak menerima sebarang bantuan.
Sistem kemanusiaan yang diketuai PBB bukan gagal, tetapi ia telah dihalang daripada berfungsi. Agensi-agensi kemanusiaan memiliki keupayaan dan bekalan untuk bertindak secara besar-besaran.
Namun, apabila akses dinafikan, kami terhalang daripada menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan selain menyebabkan pasukan kami sendiri keletihan dan kelaparan.
Pada 10 Julai 2025, EU dan Israel mengumumkan langkah untuk meningkatkan bantuan.
Tetapi janji-janji tentang 'kemajuan' ini kedengaran kosong apabila tiada perubahan sebenar berlaku di lapangan.
Setiap hari tanpa aliran bantuan yang berterusan, bermakna lebih ramai yang mati akibat penyakit yang sebenarnya boleh dicegah. Anak-anak kebuluran sementara menunggu janji yang tidak pernah kunjung tiba.
Rakyat Palestin terperangkap dalam kitaran harapan dan kehampaan sambil menunggu bantuan dan gencatan senjata, namun saban hari terjaga dengan keadaan yang semakin parah.
Ini bukan sekadar penderitaan fizikal, tetapi juga tekanan psikologi. Harapan untuk terus hidup ibarat fatamorgana yang sentiasa menjauh. Sistem kemanusiaan tidak boleh bergantung kepada janji kosong.

Sejak 7 Oktober 2023, penduduk Gaza terpaksa berjalan tanpa arah yang pasti demi mencari perlidungan.
Petugas kemanusiaan tidak mampu beroperasi dengan garis masa yang sentiasa berubah-ubah atau terus menunggu komitmen politik yang gagal memberikan akses.
Setiap kerajaan perlu berhenti menunggu "kebenaran" untuk bertindak. Kita tidak boleh terus berharap bahawa perancangan sedia ada akan berhasil.
Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas; mendesak gencatan senjata serta-merta dan berkekalan, menghapuskan semua sekatan birokrasi dan pentadbiran, membuka semua laluan darat, memastikan akses bantuan sampai ke seluruh Gaza tanpa diskriminasi, menolak model pengagihan yang dikawal oleh ketenteraan, memulihkan respons kemanusiaan yang berprinsip di bawah pimpinan PBB serta membiayai organisasi kemanusiaan yang berpegang kepada prinsip dan bersikap neutral.
Langkah konkrit perlu diambil bagi menamatkan kepungan, termasuk menghentikan pemindahan senjata dan peluru.
Langkah separuh hati dan isyarat simbolik seperti penghantaran bantuan dari udara atau perjanjian bantuan yang pincang hanyalah kabus yang menutup kegagalan untuk bertindak.
Ia sama sekali tidak boleh menggantikan tanggungjawab undang-undang dan moral negara-negara lain untuk melindungi orang awam Palestin serta memastikan akses bantuan yang menyeluruh dan bermakna. Bertindak sebelum terlambat! - KitaReporters/Kenyataan Media
