Politik & Negara 01 May, 2025

Sistem saraan baharu! Berasaskan nilai karamah insaniah! Nilai diukur pada jasa dan pengorbanan! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Sempena sambutan dan semangat Hari Pekerja 2025, Perdana Menteri menegaskan kerajaan merangka sistem saraan baharu untuk penjawat awam dengan pendekatan berbeza.

Sistem saraan baharu itu bukan hanya menaikkan gaji tetapi memastikan mereka di tangga gaji rendah menerima kenaikan paling signifikan.

"Pendekatan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Madani membina semula negara ini atas nilai karamah insaniah (kemuliaan insan), di mana martabat seseorang itu tidak diukur pada harta atau pangkat, tetapi pada jasa, budi dan pengorbanannya. 

"Maka meskipun ada yang cuba menanam keraguan, kami tekal memulakan langkah membela pekerja, termasuk menaikkan gaji penjawat awam dan kadar gaji minimum," jelas Anwar Ibrahim pada majlis sambutan Hari Pekerja 2025 pada Khamis, 1 Mei 2025.

Terdahulu, Perdana Menteri turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil pagi tadi (1 Mei 2025) bagi menyambut Hari Pekerja 2025 peringkat kebangsaan sebagai satu penghormatan kepada bakti, keringat dan kesungguhan para pekerja dari segenap pelosok tanah air.

"Saya cukup terkesan saat lagu Solidariti Perjuangan bergema pada awal majlis. 

"Bait-bait liriknya mengangkat hakikat sebenar perjuangan kelas pekerja: tanpa pekerja, tidak akan berdiri istana raja; tanpa pekerja, tiada hospital megah; tanpa pekerja, keselamatan kita tidak terjamin," katanya.



Beliau turur menegaskan Kerajaan Madani kekal beriltizam untuk terus mengangkat martabat para pekerja dengan tidak sekadar berusaha mencatat pertumbuhan ekonomi, tetapi menterjemahkannya kepada kehidupan rakyat yang lebih bermaruah.

"Saya tidak pernah lupa pengorbanan puluhan ribu rakyat yang majoritinya golongan pekerja, bersama turun ke jalanan demi menuntut keadilan, melawan penindasan dan menolak salah guna kuasa. 

"Hari ini, kita tidak sekadar berbicara kosong. Kita mulakan dengan tatakelola, melaksanakan reformasi fiskal, dan menaikkan gaji pekerja. Kita perangi rasuah dan menghentikan budaya menggunakan kuasa untuk memperkaya diri dan keluarga," kata Anwar.





Namun Perdana Menteri mengingatkan perjuangan ini belum selesai. 

"Kita harus berani melawan agenda kebencian, perkauman sempit dan fahaman agama yang memecahbelahkan. Perjuangan ini adalah untuk keadilan buat semua pekerja, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

"Teruskan khidmat kalian dengan tekun dan ikhlas. Pekerja harus bersatu dan tentukan sendiri nasib kalian, dan jangan sesekali membenarkan diri ditunggang sesiapa. 

"Ayuh, kita bulatkan tekad, menumpahkan bakti untuk menjadikan Malaysia negara hebat di rantau ini, Insya-Allah," tegas beliau lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


20
15
0
12
0
You will be interested