Politik & Negara 03 Sep, 2025

China sokong sepenuhnya Malaysia sertai BRICS! Dengan segera! Satu penghormatan kepada kita! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

China menerusi Presiden Xi Jinping menyatakan sokongan penuhnya untuk menyegerakan penyertaan Malaysia sebagai anggota penuh organisasi politik dan ekonomi pelbagai negara, BRICS.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, Presiden Xi telah menyatakan sokongan penuh beliau untuk menyegerakan penyertaan Malaysia sebagai anggota penuh BRICS.

"Ini satu penghormatan besar atas dukungan terhadap negara kita untuk terus memainkan peranan penting di pentas dunia.

"Saya amat menghargai keikhlasan persahabatan yang dizahirkan oleh Presiden Xi serta penghormatan yang diberikan kepada Malaysia. 

"Meskipun kita sebuah negara kecil, keyakinan, saling percaya dan tekad bersama berupaya menjadi kekuatan besar untuk membentuk masa depan yang lebih aman, adil dan makmur," tegas beliau.

BRICS yang dimulakan oleh lima negara (Brazil, Rusia, India, China, Africa Selatan) kini dianggotai 10 negara termasuk Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). 



Terdahulu, kemuncak lawatan kerja Perdana Menteri ke China berlangsung di Great Hall of the People di Beijing pada Selasa, 2 September 2025 tatkala mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping. 

Katanya, beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak SCO yang berlangsung dengan penuh bersejarah.

Pertemuan ini, katanya lagi, memperkukuh ikatan yang terjalin sejak lawatan negara Presiden Xi ke Malaysia pada April 2025 lalu, di mana Malaysia-China menandatangani 31 MoU dan perjanjian. 

"Alhamdulillah, saya dan Presiden Xi senada untuk terus memperkukuh persahabatan ini berteraskan kepercayaan, hormat dan keikhlasan.

"Saya juga nyatakan bahawa hubungan ini perlu diterjemah dengan pelaksanaan segera terhadap perkara yang telah dipersetujui. Hanya dengan tindakan pantas, hubungan istimewa ini dapat memberi impak yang lebih bermakna buat rakyat kedua-dua negara," jelas Anwar.



Perdana Menteri turut menyatakan sokongan terhadap usul dan idea yang digagaskan oleh Presiden Xi, khususnya Belt and Road Initiative (BRI) yang memperkukuh keterhubungan dunia, serta Global Governance Initiative (Inisiatif Tadbir Urus Global atau GGI) yang dicetuskan dalam Sidang Kemuncak SCO kali ini.

"Ketika ini, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut. 

"Nilai perdagangan dua hala tahun lalu (2024) mencecah AS$106 bilion (RM448.1 bilion), mencerminkan eratnya hubungan ini. 

"Saya nyatakan kepada Presiden Xi akan komitmen Malaysia untuk memperkukuh eksport bernilai tinggi seperti E&E, aeroangkasa, perubatan, farmaseutikal serta minyak dan gas," tambah beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
17
0
13
0
You will be interested