Politik & Negara 15 Oct, 2025

Tidak diundang kerana pendirian Malaysia tegas! Sokongan bersyarat! Pelan damai tak menyeluruh! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Malaysia bertegas mahu sebuah negara Palestin yang berdaulat diiktiraf, warga Palestin yang diusir dibawa pulang dan penjajahan serta kezaliman Israel dihentikan sepenuhnya.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu adalah antara syarat-syarat utama bagi Malaysia menyokong sebarang pelan damai di Palestin dan sebab itulah Malaysia tidak diundang ke sidang kemuncak Gaza di Sharm al-Sheikh, Mesir.

"Malaysia tidak diundang ke Sharm al-Sheikh kerana pendirian Malaysia adalah kita tidak memberikan dukungan tanpa syarat terhadap pelan damai 20 perkara yang dikemukakan (oleh Amerika Syarikat). 

"Syarat kita jelas yakni ia mesti bersifat ‘comprehensive solution’ (penyelesaian menyeluruh), yang tentunya mencakup persoalan membawa pulang warga Palestin yang terusir, mengiktiraf hak Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat, serta menamatkan sepenuhnya penjajahan dan kezaliman rejim Zionis Israel di Tebing Barat," jelas beliau dalam satu hantaran dalam akaun Facebooknya pada Selasa, 14 Oktober 2025.



Mengikut laporan antarabangsa, sidang kemuncak gencatan senjata Gaza di Sharm el-Sheikh, Mesir dijangka akan dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perjanjian gencatan senjata ini dimeterai dengan pengantaraan Amerika Syarikat, Mesir, Qatar dan Turki, dengan antara lain melibatkan pertukaran tahanan besar-besaran.

Selepas menelitinya, Malaysia mendapati pelan damai 22 butiran AS tersebut tidak menyentuh soal hak rakyat Palestin, kedaulatan negara mereka, mahupun instrumen pendudukan (occupation) yang masih berterusan. 

"Justeru, Malaysia tidak tergamak untuk mendukung sesuatu yang mengabaikan prinsip asas tersebut. 

"Pendirian dan kenyataan saya serta Menteri Luar disampaikan dengan jelas; Malaysia mendukung dengan ‘reservation’ (bersyarat), bukan membuta tuli," tegas Anwar.



Namun, katanya, ada yang bertanyakan, “justeru, mengapa masih mendukung pelan damai?”. 

Jawapannya, tegas Perdana Menteri, adalah Malaysia mahu penghentian segera kepada pemusnahan harta benda, pembantaian, termasuk wanita dan kanak-kanak. 

"Saat Gaza kebuluran dan dunia bungkam, sebarang ruang mendesak yang dapat segera menghentikan kezaliman mesti kita manfaatkan, selagi tidak menggadai prinsip dan maruah. 

"Ketidakhadiran Malaysia di Sharm al-Sheikh bukan bermaksud kita menjauh, tetapi adalah manifestasi pendirian nasional yang berani dan berprinsip. 

"Diplomasi bagi kita adalah wahana menjulang nilai kemanusiaan dan hak bangsa tertindas, tidak sekadar upacara atau tuntutan protokol semata," ujar beliau.

Menurutnya lagi, Malaysia akan terus berunding melalui OIC, ASEAN, serta dengan rakan seperti Jepun, Turkiye, Qatar dan Arab Saudi.

"Ini untuk menyalurkan bantuan serta merencana pemulihan Gaza iaitu membina semula sekolah, hospital, rumah dan pelbagai infrastruktur asas yang lain seusai derita perang tamat," tambah Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
9
0
7
0
You will be interested