Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berjaya memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara sehingga mencapai tahap Perkongsian Strategik Menyeluruh atau Comprehensive Strategic Partnership (CSP).

Selain itu, kedua-dua negara juga menandatangani dua dokumen sebagai langkah strategik bagi memperkukuh keterjaminan rantaian bekalan serta manfaat bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selesai menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Thailand–Kemboja, beliau bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, mengetuai delegasi masing-masing dalam sesi mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Katanya, pertemuan ini memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak tahun 1957, sambil membuka ruang baharu bagi memperdalam kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan, pertahanan serta teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
"Saya menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Amerika Syarikat dalam memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Comprehensive Strategic Partnership (Perkongsian Strategik Menyeluruh atau CSP).
"Dalam kesempatan ini, kami juga menandatangani Framework Agreement on Reciprocal Trade (Rangka Kerja Perjanjian mengenai Perdagangan Timbal Balas atau ART) dan Memorandum of Understanding on Critical Minerals (Memorandum Persefahaman mengenai Bahan Galian Kritikal), sebagai langkah strategik memperkukuh keterjaminan rantaian bekalan serta manfaat bersama antara kedua-dua negara," jelas beliau.

Menurut Anwar, Malaysia dan Amerika Syarikat turut bersama dalam menjayakan pelbagai inisiatif serantau termasuk usaha memperkukuh keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.
"Saya juga menegaskan komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan Pelan Damai Gaza.
"Ini termasuklah memastikan laluan bantuan kemanusiaan tidak dihalang dan proses pembinaan semula wilayah berkenaan dapat dilaksanakan segera demi keadilan dan maruah rakyat Palestin," ujarnya.
Perdana Menteri juga menegaskan Malaysia akan terus memimpin dengan prinsip, bekerjasama atas dasar saling hormat, memperkukuh perdagangan bebas dan menjunjung keamanan sejagat, selaras dengan semangat Malaysia Madani.
"Saya mendoakan agar hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
"Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas kesudian berkunjung ke Malaysia dan atas komitmen beliau dalam mempererat persahabatan antara kedua-dua negara," tambah Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
