Politik & Negara 11 Apr, 2023

Semarak Tambun Cinta Al-Quran! MAPIM gerakkan inisiatif didik Malaysia Madani untuk tadabbur al-Quran!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Di bawah Sekretariat Madani Tambun (SMAT), MAPIM pada 10 April 2023 telah mengambil inisiatif melaksanakan sebuah gerakan mendidik masyarakat untuk tadabbur (memahami) al-Quran yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Masjid Ittihadiah, Manjoi, Ipoh, Perak. 

Pelancaran tersebut diadakan sempena Majlis Iftar bersama Perdana Menteri.

Dalam ucapan Anwar, memahami kandungan al-Quran sangat penting untuk membentuk sifat masyarakat adil. Al-Quran sebagai hidayah untuk manusia dan kepada mereka yang bertaqwa adalah pedoman yang dianjurkan dalam konsep Madani yang menjadi wawasan negara. 



Pelancaran Semarak Tambun Cinta Al-Quran telah dicetuskan oleh SMAT MAPIM sebagai salah satu program Madani Tambun. 

Tujuan  program tersebut dilancarkan adalah untuk menyemarakkan penghayatan al-Quran dalam kehidupan masyarakat Tambun. 

Diharapkan budaya membaca, memahami dan merangsang serta mengamalkan segala panduan al-Quran akan menjadi ciri masyarakat Tambun.

SMAT yang menjadi pusat gerak kerja Madani Tambun akan mengusahakan pengedaran 10,000 naskah Tafsir Quran Perkata di seluruh Parlimen Tambun.

SMAT MAPIM mengharapkan ada pihak yang akan menaja program ini supaya ia menjadi model untuk dikembangkan di seluruh negara .

MAPIM akan merangka modul tarbiyyah al-Quran pada pelbagai peringkat masyarakat: kanak-kanak, generasi muda, golongan dewasa, suri rumah, peniaga kecil, dan kakitangan awam. 

Institusi masjid dan surau akan menjadi pusat tarbiyyah yang akan mengerakkan program tersebut.

MAPIM berpendapat Madani Tambun akan hanya dapat direalisasikan jika al-Quran menjadi sumber rujukan masyarakat. 

Segala petunjuk al-Quran yang mendidik manusia ke arah sahsiah yang sempurna dan berakhlaq adalah paksi dan asas dalam membentuk kualiti umat terbaik atau khairah ummah.

Segala 6 nilai teras dalam masyarakat Madani yang disaran oleh Perdana Menteri sangat serasi dengan al-Quran. Lantaran itu program Semarak Tambun Cinta Al-Quran sewajarnya dijayakan dengan sebaik mungkin.

MAPIM bercadang untuk melibatkan semua pihak awam dan swasta serta organisasi sivil untuk menggembleng tenaga agar tarbiyyah al-Quran benar-benar dapat diterapkan dalam masyarakat.


Mohd Azmi Abdul Hamid 

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)


17
7
0
7
0
You will be interested