Anak-anak Malaysia (yang menyertai gerakan flotila) yang berani ini bukan sekadar sukarelawan berjiwa murni, mereka adalah wira kemanusiaan yang membawa nama negara ke tengah lautan perjuangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan bahawa kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang turut membawa rakyat Malaysia telah dipintas secara tidak sah di perairan antarabangsa oleh tentera Zionis Israel pada Rabu, 8 Oktober 2025, sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa ini.
"Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat," tegas beliau.

Katanya, kerajaan Malaysia menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan negara ini dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya, dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.
"Kerajaan Madani akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini dan akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka sesegera mungkin," jelas Anwar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, Kerajaan Turkiye sekali lagi telah memberi jaminan akan terus membantu membebaskan sembilan aktivis dan sukarelawan Malaysia yang kini ditahan secara haram oleh rejim Zionis Israel.
"Buat semua ahli keluarga yang menanti dengan doa dan air mata, percayalah, negara bersama kalian.
"Anak-anak Malaysia yang berani ini bukan sekadar sukarelawan berjiwa murni, mereka adalah wira kemanusiaan yang membawa nama negara ke tengah lautan perjuangan.
"Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus berjuang menuntut keadilan dan pembebasan mereka.
"Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada anak-anak Malaysia menempuhi cabaran ini dan mempermudahkan setiap langkah urusan pembebasan mereka," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media